Najib mohon semak keputusan Mahkamah Persekutuan

Najib Razak
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengemukakan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk mengangguhkan perbicaraan penyelewengan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib ketika prosiding sebutan semula kes rasuah 1MDB di dihadapan hakim Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Harvinderjit memaklumkan, permohonan itu dikemukakan ke Mahkamah Persekutuan hari ini namun pihaknya belum mendapat tarikh untuk pendengaran permohonan tersebut.

Dalam pada itu, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu mahkamah, Peguam Negara telah menulis surat kepada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim yang memohon agar mahkamah memberi keutamaan terhadap perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) berjumlah RM42 juta.

"Kami telah menerima surat balasan dari Hakim Besar Malaya berhubung perkara tersebut namun beliau (Zaharah) berkata hal tersebut terletak pada budi bicara mahkamah ini," ujar Sri Ram.

Sehubungan itu Collin menetapkan tarikh 5 April ini untuk pengurusan kes tersebut selain menjangkakan awal Mei ini untuk perbicaraan kes itu yang hanya akan dijalankan apabila perbicaraan melibatkan kes SRC International dilapangkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bicara kes SRC Najib bermula 3 April ini

ARTIKEL BERKAITAN: 25 kes Najib: Perbicaraan ditetapkan April 2019

Mahkamah Persekutuan pada 27 Mac lalu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan perbicaraan kes melibatkan SRC Intertional ditangguhkan.

Panel tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, ketika membacakan keputusan itu berkata, Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan perbicaraan kes itu ditangguhkan.

Najib, 66, pada 20 September 2018 tidak mengaku salah terhadap 25 pertuduhan termasuk empat tuduhan salah guna kedudukan dan 21 pertuduhan membabitkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia