25 kes Najib: Perbicaraan ditetapkan April 2019

Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 15 hari bermula 15 April tahun depan untuk perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi empat pertuduhan rasuah dan 21 kes pengubahan wang haram berhubung dana 1Malaysia Development Berhad.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 15 April hingga 3 Mei tahun depan untuk perbicaraan kes berkenaan selepas pihak pendakwaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan pembelaan diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersetuju dengan tarikh berkenaan.

Terdahulu, 25 pertuduhan itu dibacakan terhadap Najib, 65, dan beliau mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan itu.

Pada 20 September lalu, kes itu disebut di Mahkamah Sesyen di sini di hadapan Hakim Azura Alwi, namun dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 16 November lalu selepas permohonan pembelaan itu tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

Ketika prosiding hari ini, Sri Ram turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa walaupun pihak pendakwaan membariskan 52 saksi pendakwaan, namun bukan kesemua mereka akan dipanggil memberi keterangan.

"Sebanyak 390 dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan setakat ini," katanya.

Ketika prosiding kes itu, Muhammad Shafee berkata pihaknya akan membuat permohonan untuk membatalkan 25 pertuduhan yang dihadapi anak guamnya, namun tidak mendedahkan alasan untuk berbuat demikian.

“Selain itu, kita akan meminta pembatalan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan,” katanya, dan kemudian memberitahu pemberita bahawa konflik kepentingan adalah antara alasan bagi pembatalan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Najib didakwa atas empat pertuduhan sebagai Pegawai Badan Awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Bagi pertuduhan pertama beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM90,899,927.28 di tempat yang sama antara 31 Oktober 2012 dan 20 November 2012.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Najib didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan sebanyak RM2,081,476,926 dan RM49,930,985.70.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di tempat yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 10 April 2013 serta antara 23 Jun 2014 hingga 19 Disember 2014.

Bagi semua perbuatan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan lagi, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. –Bernama