Restoran 'cheese naan' air tangan PATI digempur

Seramai empat PATI ditahan termasuk pembuat roti dan tukang cuci dalam operasi penguatkuasaan Imigresen pada Khamis. -Foto Imigresen.
Seramai empat PATI ditahan termasuk pembuat roti dan tukang cuci dalam operasi penguatkuasaan Imigresen pada Khamis. -Foto Imigresen.
A
A
A

BANGI - Sebuah restoran terkenal dengan juadah 'cheese naan' di Bangi didapati menggunakan khidmat pendatang tanpa izin (PATI) warga Pakistan sebagai pembuat roti digempur dalam satu operasi penguatkuasaan di sini pada Khamis.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai empat lelaki warga Pakistan ditahan dalam operasi yang bermula sekitar jam 10 malam itu.

"Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan awam yang gusar akan status tukang masak warga asing sama ada mempunyai dokumen yang sah dan sudah mendapat suntikan tifoid untuk pengendali makanan.

"Semasa pemeriksaan dilakukan terdapat beberapa pekerja warga asing bekerja di dalam premis terbabit terdiri daripada empat lelaki warga Pakistan yang bekerja sebagai pembuat cheese naan dan tukang cuci," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua pekerja terbabit didapati tidak mempunyai dokumen yang sah untuk bekerja di premis terbabit.

"Keempat-empat PATI berusia lingkungan 26 hingga 44 tahun itu ditahan dan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan serta tindakan lanjut.

"Sebanyak dua notis untuk hadir memberi keterangan turut dikeluarkan kepada pekerja warga tempatan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan," katanya.

Menurutnya, orang ramai terutama pihak majikan diberi amaran supaya tidak menggajikan PATI kerana tindakan tegas akan dikenakan jika didapati bersalah.

"Orang ramai digesa supaya terus menyalurkan maklumat supaya tindakan penguatkuasaan dan undang-undang dapat dilaksanakan ke atas PATI dan majikan yang masih degil," ujarnya.