Sanggup datang jauh demi minyak masak

Antara pembeli yang mendapatkan minyak masak peket sempena Program Advokasi Gerakan Siswa UMK Bersama Komuniti Luar Bandar Kariah Masjid Mukim Kampung Jedok
Antara pembeli yang mendapatkan minyak masak peket sempena Program Advokasi Gerakan Siswa UMK Bersama Komuniti Luar Bandar Kariah Masjid Mukim Kampung Jedok
A
A
A

TANAH MERAH - Penduduk sekitar Tanah Merah tidak melepaskan peluang membeli minyak masak peket sempena Program Advokasi Gerakan Siswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bersama Komuniti Luar Bandar Kariah Masjid Mukim Kampung Jedok di sini pada Sabtu.

Mereka juga bersyukur kerana harga ditawarkan lebih murah iaitu RM2.50 berbanding harga jualan kini yang didakwa antara RM3 hingga RM3.50.

Penoreh getah, Wan Noriah Wan Ahmad, 59, sanggup membonceng motosikal bersama suaminya, Abdullah Mamat, 65, sejauh lebih 10 kilometer untuk mendapatkan minyak masak itu pada program berkenaan.

Usaha pasangan suami isteri dari Kampung Air Kayan itu berbaloi kerana dapat membeli lapan peket minyak masak berkenaan.

"Kami mula beratur kira-kira jam 9.45 pagi kerana memang berhasrat menyimpan stok minyak peket ini dalam tempoh sebulan.

"Saya juga perlu berjimat kerana banyak barangan keperluan yang sudah naik harga," katanya.

Sementara itu, Wati Ahmad, 44, dari Kampung Air Merbo berkata, dia meredah perjalanan lebih sejam untuk ke lokasi program semata-mata mahu membeli minyak masa itu.

Wati yang juga penoreh getah bersyukur kerana dapat membeli empat peket minyak masak pada harga RM10.

Wati
Wati

"Saya terpaksa berjimat menggunakan minyak masak kerana peningkatan harganya. Pembelian hari ini membolehkan saya menyimpan stok selama seminggu," katanya.

Program Advokasi Gerakan Siswa UMK Bersama Komuniti Luar Bandar Kariah Masjid Mukim Kampung Jedo dihadiri Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Zahari Kecik, mewakili Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kira-kira 1,000 pengunjung membabitkan lima kampung menghadiri program inisiatif Pejabat Ahli Parlimen Jeli dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan

Kampung terbabit ialah Jedok, Jedok Tua, Mak Jintan, Banggol Yek dan Bendang Besar.