'Kembalikan pengurusan kontraktor kelas F kepada PKK'

Datuk Hasanuddin Mohd Yunus
Datuk Hasanuddin Mohd Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Kontraktor bumiputera Kelas F mahu Kementerian Kewangan mengembalikan pengurusan Kontraktor G1 bumiputera / Kelas F kepada Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, kontraktor kecil bumiputera kebanyakannya tergolong dalam kategori B40 dan lebih selesa dengan cara pengurusan PKK yang mesra rakyat sebelum ini.

Menurutnya, penetapan syarat kenaikan gred secara paksa oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kepada Kontraktor G1 (Bumiputera) / Kelas F dalam masa tiga atau empat tahun akan datang juga tidak relevan kepada kontraktor kecil.

"Jika tidak (menaikkan gred), taraf kontraktor bumiputera akan ditarik balik dan apabila tiada taraf bumiputera, kontraktor-kontraktor kecil ini tidak boleh membida projek-projek kerajaan lagi.

"Sudahlah projek-projek pembangunan swasta termasuk kerja ubah suai rumah dikuasai oleh warga asing. Jadi apa lagi yang tinggal untuk mereka," kata Hasanuddin kepada Sinar Harian.

Hasanuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, itu tidak termasuk projek-projek yang dikurniakan kepada kroni-kroni serta upah pekerja yang dinaikkan.

Katanya lagi, pelbagai kementerian harus bertindak segera khasnya Menteri Kewangan dalam menangani isu-isu ini.

"Kontraktor-kontraktor kecil bumiputera juga faham tentang hak mereka di bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan. Apakah pegawai-pegawai yang menasihatkan menteri lupa?

"Sesungguhnya perkara-perkara ini adalah rintihan yang saya dengari sendiri di akar umbi khususnya kos buruh yang semakin membebankan," katanya.

Di samping itu, katanya, ramai dari kalangan kontraktor-kontraktor kecil bumiputera dalam kategori B40 ini sudah berusia 50 tahun ke atas, maka tiada siapa lagi yang mahu mengambil mereka bekerja.

Mengenai kenaikan harga bahan binaan pula, beliau meminta kerajaan memantau harga dengan menetapkan harga siling bagi bahan tersebut.

"Selain kegagalan kerajaan mengawal harga barang makanan, kenaikan harga barang-barang binaan juga mengalami masalah yang sama," katanya.

Tambahnya, sebagai ahli Parlimen, beliau akan terus berdiskusi dan memperjuangkan nasib rakyat marhaen yang mutakhir ini semakin tersepit akibat kegawatan ekonomi.