Jihad bukan perang tapi perjuangan: Ismail Sabri

Ismail Sabri
A
A

KUALA LUMPUR - Jihad bukan membawa maksud peperangan seperti yang disalah erti, sebaliknya bermakna perjuangan, demikian kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO itu menjelaskan, kerjasama antara UMNO dan Pas merupakan jihad dalam memperjuangkan penyatuan Melayu dan Islam.

Ismail Sabri memberitahu, konteks jihad itu bukan sama sekali mengisytiharkan perang terhadap mana-mana kumpulan kaum atau agama lain di negara ini.

“Jihad itu perjuangan, ia tiada kaitan dengan perang. Segelintir orang ingat perang menentang pihak lain. Bukan, jihad adalah perjuangan. Perjuangan dalam ekonomi dan pendidikan.

“Misalnya ketika saya menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengumumkan jihad menentang orang tengah, tapi bukan tembaknya sampai mati,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen.

Ahli Parlimen Bera itu memaklumkan, Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Menteri Pendidikan pernah menggunakan istilah jihad.

“Beliau mengisytiharkan juga mengenai jihad pendidikan, sekarang tak tahu lah mungkin beliau anggap jihad itu ekstrem ke apa, tak pasti,” katanya.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan Ismail Sabri berkata, perjuangan UMNO dan Pas merupakan jihad untuk menumbangkan kerajaan anti-Islam kepada kerajaan Melayu dan Islam.

Susulan daripada itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa Naib Presiden UMNO itu supaya menarik balik kenyataan itu dalam tempoh 24 jam, sekiranya gagal akan menggesa polis mengambil tindakan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas adalah ‘moderate’ berdasarkan hubungan yang dijalinkan dengan MCA dan MIC.

“Kalau tak moderate macam mana? Kita tak sama dengan MCA dan MIC malah apabila MCA ada masalah, kita bantu menguatkan parti itu supaya orang Cina sokong kita melalui MCA,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, pengiktirafan terhadap golongan LGBT menerusi perarakan dalam Hari Wanita baru-baru ini antara perkara yang telah menggores sensitiviti orang Islam.

“Dalam Islam sangat jelas hubungan sejenis adalah salah tetapi perkara ini dibenarkan berlaku dalam perarakan tersebut malah Kabinet pernah membincangkan mengenai isu tandas yang akan digunakan oleh golongan LGBT.

“Sebelum ini tak pernah pun timbul isu ini. Isu ini menghina Islam, selain hina Nabi Muhammad SAW. Mungkin mereka anggap dilindungi,” katanya ketika diminta mengulas sama ada kerajaan PH anti-Islam.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia