Ketua kerani antara 3 ditahan tipu tuntutan Penjana Kerjaya

SPRM sebelum ini telah menahan 37 individu bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Penjana Kerjaya melibatkan nilai keseluruhan RM100 juta.
SPRM sebelum ini telah menahan 37 individu bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Penjana Kerjaya melibatkan nilai keseluruhan RM100 juta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lelaki, masing-masing satu di Johor dan dua di Pulau Pinang pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Menurut sumber, suspek di Johor merupakan ketua kerani kanan berusia 41 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan, ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira jam 7.45 malam ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Sumber itu berkata, suspek dipercayai menerima wang berjumlah RM5,000 daripada salah seorang pemilik syarikat, sebagai balasan untuk membantu syarikatnya dalam urusan tuntutan bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja.

Dua lagi suspek yang berusia 40 dan 26 tahun ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang masing-masing pada jam 6.50 petang dan 7.25 malam ketika hadir memberi keterangan.

"Mereka dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butiran palsu secara dalam talian, bagi menuntut bayaran insentif pengambilan pekerja dan latihan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana),” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Menurut sumber, ketua kerani terbabit telah direman selama tiga hari bermula Jumaat hingga 17 Julai yang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, manakala dua lagi suspek direman selama enam hari mulai Jumaat sehingga 20 Julai dan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan tersebut dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam tempoh terdekat.

SPRM sebelum ini telah menahan reman seramai 37 individu bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Penjana Kerjaya di beberapa negeri menerusi ‘Op Hire’ yang bermula Rabu lalu. - Bernama