Pengasas bersama kelab komedi direman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Salah seorang pengasas kelab komedi kontroversi di ibu negara direman sehari berhubung penularan dua klip video memaparkan dirinya membuat persembahan lawak jelik berunsur perkauman.

Video terbabit dipercayai dirakam di kelab komedi tersebut memaparkan suspek membuat persembahan komediri di hadapan penonton.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang pada Khamis.

"Polis mengesahkan bahawa lelaki warga tempatan berumur 39 tahun yang ditahan pada Khamis bagi membantu siasatan mengenai penularan dua klip video di sebuah kelab komedi, telah dibenarkan reman selama satu hari oleh majistret iaitu pada Jumaat.

"Suspek akan diberi jamin polis pada petang Jumaat memandangkan siasatan memerlukan kehadiran suspek telah selesai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, suspek yang merupakan pengasas bersama kelab komedi terbabit ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kelab komedi tersebut merupakan kelab sama di mana seorang wanita, Siti Nuramira Abdullah membuat persembahan lawak jelik yang didakwa menghina agama Islam apabila dia tampil berbaju kurung dan mengaku telah menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum membuka bajunya menampakkan pakaian mencolok mata.

Isu tersebut bertambah hangat apabila klip video memaparkan suspek yang juga salah seorang pengasas dan pemilik kelab komedi berkenaan didakwa membuat persembahan berbaur perkauman.

Susulan itu, Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (Semboyan Malaysia) membuat laporan polis terhadap suspek dan menggesa pihak berkuasa menutup terus kelab komedi berkenaan yang didakwa menyajikan persembahan lawak jelik dan menyentuh sensitiviti agama serta kaum.

Pada Rabu, Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilapor berkata, operasi kelab komedi terletak di Taman Tun Dr Ismail itu digantung sementara kerana didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Beliau dipetik sebagai berkata, pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.