FAMA anjur 840 program jualan barangan murah sehingga Disember

A
A
A

Zainal Abidin (empat dari kanan) melihat buah melon yang dijual seorang usahawan pada Program Khas JTDLKM yang diadakan di Tapak Pasar Malam Medan Jaya, Rusila, Marang.
Zainal Abidin (empat dari kanan) melihat buah melon yang dijual seorang usahawan pada Program Khas JTDLKM yang diadakan di Tapak Pasar Malam Medan Jaya, Rusila, Marang.

MARANG – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan terus membantu rakyat mendapatkan keperluan harian pada harga lebih murah dari pasaran dengan menganjurkan 840 Program Khas Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, program di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu akan dilaksanakan di 70 lokasi terpilih seluruh negara bagi meringankan beban rakyat dengan sasaran nilai kutipan jualan sehingga Disember nanti melebihi RM10.5 juta.

Menurut beliau, seramai 8,400 usahawan pelbagai barangan keperluan seperti ayam segar, ikan, buah-buahan, telur ayam dan produk industri asas tani akan terlibat yang menawarkan penjimatan harga antara 5 hingga 10 peratus berbanding pasaran setempat.

“Sejak 1 Jun lalu, sebanyak 267 program JTDLKM telah dilaksanakan dengan nilai jualan terkumpul RM3.1 juta.

Melalui penganjuran setakat ini, sebanyak RM316,000 penjimatan telah diperoleh 150,000 pengunjung program ini.

“Di negeri Terengganu sahaja, JTDLKM telah dianjurkan di 22 lokasi melibatkan seramai 359 usahawan,” katanya selepas hadir meninjau Program Khas JTDLKM yang diadakan di Tapak Pasar Malam Medan Jaya, Rusila di sini, Sabtu lalu.

Produk hasil laut turut dijual kepada pengguna sepanjang Program Khas JTDLKM.
Produk hasil laut turut dijual kepada pengguna sepanjang Program Khas JTDLKM.

Program jualan bermula jam 8 pagi itu menawarkan pelbagai jenis barang keperluan harian pada harga lebih murah dengan ayam segar dijual RM8 sekilogram berbanding harga siling RM9.40.

Program khas JTDLKM melibatkan kerjasama lima agensi di bawah MAFI iaitu FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Di antara lokaliti pelaksanaan program berkenaan termasuklah di kawasan perumahan, pejabat kerajaan dan projek-projek peruncitan bimbingan agensi-agensi.

Zainal Abidin berkata, FAMA melihat pemasaran hasil pertanian secara terus kepada pengguna sebagai satu lagi kaedah untuk mengurangkan kebergantungan pengeluar kepada orang tengah sekali gus memberi peluang kepada pengguna mendapat barang dengan harga lebih rendah.

“Program ini dapat memendekkan rantaian pemasaran agro-makanan bagi memberi harga yang terbaik kepada pengguna.

“Ini selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meneruskan konsep Jihad Memerangi Orang Tengah kerana semua usahawan yang terlibat dalam JTDLKM merupakan pengeluar hasil pertanian itu sendiri,” katanya.

BANTU USAHAWAN LUAR BANDAR

Jannatul Adnin akui JTDLKM dapat mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.
Jannatul Adnin akui JTDLKM dapat mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.



Program Khas JTDLKM diakui berkesan membantu usahawan luar bandar memasarkan hasil pertanian mereka.

Usahawan tani, Jannatul Adnin Yahaya, 36, yang mengusahakan tanaman ubi kayu di Kampung Baru Mawai, Kota Tinggi akui JTDLKM berjaya mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

“Sebagai usahawan muda, sudah tentu saya mahu produk makanan berasaskan ubi kayu diperluaskan lagi pasarannya.

“Langkah FAMA mengadakan JTDLKM sangat bagus kerana dapat membantu usahawan luar bandar mencari pasaran lebih baik dan terus dari ladang,” katanya yang turut menghasilkan tapai dan opak ubi kayu di Felda Bukit Waha sejak 2005.

Sementara itu, Mohd Khairul Nizam Mohd Amin, 42, yang terlibat dengan tanaman nanas di Kampung Parit Yusof, Muar turut bersetuju program JTDLKM membantu pekebun luar bandar sepertinya.

Katanya, hasil pertanian dapat dipasarkan tanpa orang tengah sekali gus memberi banyak kelebihan kepada usahawan luar bandar.

“Saya menyertai program ini sejak 2017. Saya mengenali pemborong besar dari Kuala Lumpur yang mahu membeli nanas secara terus dari ladang.

“Kini, saya menghantar lebih 15 tan nanas dari variti MD2, Morris dan Josapine dengan menggunakan lori pada setiap minggu ke Kuala Lumpur,” katanya.

TINGKAT PENDAPATAN

Peniaga di Pulau Pinang menyifatkan program JTDLKM bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna malah membantu usahawan meningkatkan pendapatan.

AZNAN
AZNAN



Peniaga buah-buahan, Aznan Darus dari Tasek Gelugor berkata, penganjuran seperti ini perlu diperluaskan lagi agar produk segar dari ladang dapat terus dipasarkan kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.

“Melalui program ini, kami dapat pasarkan terus kepada orang ramai produk jualan yang dijual lebih murah berbanding tempat lain.

“Kami menerima ramai pelanggan baharu sekali gus merancakkan lagi jualan,” katanya yang berpendapat supaya program diadakan di kawasan terbuka bagi memudahkan pengunjung singgah membeli-belah.

Peniaga daging, Mohamad Nizar Mohd Nazri gembira dapat menjual sekitar 100 kilogram daging setiap kali JTDLKM diadakan di sini.

“Alhamdulillah, setiap kali JTDLKM diadakan, jualan daging kami akan habis. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada orang ramai untuk mendapatkan barangan yang murah malah memberi keuntungan kepada peniaga yang terlibat,” katanya.

Fakta tentang JTDLKM

Jualan terus dari ladang membantu usahawan tani dari luar bandar meneroka pasaran baharu.
Jualan terus dari ladang membantu usahawan tani dari luar bandar meneroka pasaran baharu.



- 840 program sehingga Disember.

- 70 lokasi di seluruh negara.

- 8,400 usahawan terlibat

- Penjimatan harga antara 5% -10%.