Banjir Baling: KUSKOP sedia RM696,000 kepada 232 usahawan

Noh menyampaikan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia di Dewan Tun Abdul Razak Baling apda Khamis.
Noh menyampaikan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia di Dewan Tun Abdul Razak Baling apda Khamis.
A
A
A

BALING - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan geran RM696,000 kepada 232 usahawan terjejas banjir dan kepala air di Baling.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, kementerian melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) mengagihkan geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) tersebut kepada usahawan informal dan mikro yang akan menerima RM3,000 seorang.

Menurutnya, inisiatif itu sebagai membantu mangsa terjejas sekali gus meringankan beban yang ditanggung usahawan akibat kerosakan harta dan tempat tinggal.

"Mangsa yang layak terdiri daripada warganegara Malaysia menerima RM3,000 secara one-off tanpa perlu dibayar balik," katanya ketika menyampaikan BBKM di Dewan Tun Abdul Razak, di sini pada Khamis.

Jelasnya, setakat ini, Tekun, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Baling mengenal pasti seramai 232 usahawan terjejas, layak menerima bantuan tersebut serta akan ditambah sekiranya masih terdapat usahawan yang tercicir.

Noh berkata, Tekun Nasional turut mengambil inisiatif memberi moratorium sehingga enam bulan, pengeluaran 50 peratus simpanan, menyediakan pembiayaan pemulihan jika perlu dengan moratorium sehingga tiga bulan dan penjadualan semula pembiayaan.

Dalam majlis sama, Noh turut mengumumkan dana zakat SME Bank RM25,000 untuk 50 mangsa banjir, manakala Bank Rakyat dan Rakyat Holdings menyumbang RM110,000 kepada masjid, surau, sekolah serta 60 orang pelanggan Bank Rakyat yang terjejas banjir.

Dari kiri : Sarifah, Irma Azalina, Rupisah
Dari kiri : Sarifah, Irma Azalina, Rupisah

"Saya yakin dengan inisiatif dan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban usahawan informal dan mikro yang terjejas banjir," katanya.

Sementara itu, pengusaha kedai jahitan, Sarifah Ismail, 43, dari Taman Mesra Ria berkata, geran yang diterima memberi kelegaan untuk membaik pulih kerosakan akibat kejadian banjir.

Menurutnya, sumbangan tersebut akan digunakan untuk membeli perabot dan barangan elektrik yang rosak akibat kejadian itu.

Seorang lagi penerima, Irma Azalina Mohd Zaki, 40, dari Kampung Gua Reban berkata, sumbangan yang diterima bukan sahaja mampu memberi keceriaan malah mengubat emosi mangsa yang terganggu.

Peniaga kitab dan Al-Quran, Rupisah Mohd Said, 60, pula berkata, sumbangan geran yang diperolehi boleh digunakan untuk membeli bahan bacaan yang hanyut termasuk membaiki peti sejuk minuman yang terbalik dan pecah.