MATTA mahu lebih banyak agensi pelancongan urus jemaah haji

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa pihak kerajaan merombak Akta Tabung Haji 1995 bagi membenarkan lebih banyak agensi pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menguruskan jemaah haji.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, ketika ini Malaysia merupakan satu-satunya negara yang hanya membenarkan sebuah agensi kerajaan sahaja bagi berbuat demikian.

Menurutnya, giliran menunggu menunaikan haji melalui Lembaga Tabung Haji (TH) yang terlalu lama patut disemak semula.

“TH juga perlu meningkatkan penguatkuasaan dan penyeliaan berkala pakej haji selaras dengan akta tersebut.

“MATTA memandang serius isu berkenaan penempahan pakej haji oleh sejumlah peserta jemaah haji yang tidak melalui Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berdaftar dengan TH sehingga mengakibatkan 380 jemaah haji terkandas di KLIA baru-baru ini.

“Perkara ini akan tetap terus berulang jika tiada tindakan tegas diambil oleh penguatkuasa yang bertanggungjawab di dalam pemantauan berkala secara berterusan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut ujar beliau, Akta Tabung Haji 1995, Seksyen 27 dan Seksyen 34 menegaskan bahawa hanya pihak TH sahaja yang diberi kelayakan untuk mengeluarkan lesen haji yang sah dengan kelulusan pihak Arab Saudi.

Katanya, masyarakat perlu lebih teliti dan bijak membuat penilaian sebelum menempah pakej haji dan umrah bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan oleh agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

“Masyarakat juga harus diberi kesedaran untuk hanya membuat tempahan pakej haji dan umrah melalui PJH dan agen-agen pelancongan yang sah berdaftar sebagai ahli MATTA.

“Ia sekali gus memudahkan pihak MATTA mengawal selia dan memberikan bantuan menyeluruh sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

“Sebagai persatuan pelancongan kebangsaan, MATTA akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membendung kes-kes penipuan haji.

“Malah MATTA akan turut menyenaraikan ahli-ahli MATTA dan ejen-ejen pelancongan yang sah berdaftar dengan PJH bagi memudahkan masyarakat untuk membuat rujukan di dalam menempah pakej haji dimasa akan datang,” jelasnya.