[VIDEO] Ibu maut, anak hilang kaki ditimpa besi

Kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila sebuah lori yang membawa muatan besi dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menghala ke Bandar Baharu Pasir Puteh terbabas ketika melalui selekoh di lampu isyarat yang terdapat di kawasan tersebut.
Kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila sebuah lori yang membawa muatan besi dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menghala ke Bandar Baharu Pasir Puteh terbabas ketika melalui selekoh di lampu isyarat yang terdapat di kawasan tersebut.
A
A
A
PASIR PUTEH - [KEMAS KINI] Seorang ibu tunggal maut manakala anak lelakinya putus kaki kanan dalam kemalangan melibatkan 29 buah kenderaan di jalan Kemunting, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian jam 9.05 pagi, Yusni Hamid, 32, maut di lokasi akibat kecederaan parah sementara anaknya yang putus kaki kanan dikenali sebagai Mohamad Shahrul Rizal Mohd Azizi, 12, terpaksa ditidurkan.

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kemunting, Pasir Puteh pada Khamis.
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kemunting, Pasir Puteh pada Khamis.

Semasa kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gong Kala selepas menyelesaikan urusan kad pengenalan anaknya di di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Pasir Puteh.

Yusni yang merupakan operator kilang elektronik di Pulau Pinang mengambil peluang menyelesaikan urusan kad pengenalan anak sulungnya itu selepas pulang ke kampung sempena cuti Aidiladha beberapa hari lalu.

Kemalangan tersebut turut mengakibatkan tiga lagi mangsa mengalami kecederaan dipercayai ditimpa besi daripada sebuah treler yang membawa muatan tersebut.

Selain treler, kemalangan itu turut melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner, sebuah lori muatan pasir, dua buah motosikal, sebuah kereta Produa Myvi, sebuah kereta Proton Saga, sebuah kereta Perodua Alza dan 21 buah basikal.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan II Nor Raihan Mohamad Harami berkata, melalui kerja menyelamat itu pihaknya mendapati seorang wanita dewasa telah meninggal dunia.

"Kita juga dapati seorang kanak-kanak parah dan tiga dewasa mengalami kecederaan. Kanak-kanak tersebut dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan mangsa lain dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan lanjut.

"Seramai 12 anggota pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dan Tok Bali bersama pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh melakukan kerja menyelamat dan mengawal kesesakan lalu lintas," katanya.

Menurutnya, bomba mengambil masa selama satu jam 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam limpahan batang besi.

Beliau berkata, besi tersebut dianggarkan seberat 30 kilogram sebatang.

Nor Raihan berkata, pihaknya difahamkan treler membawa muatan besi itu datang dari arah Jertih, Terengganu dan kemudian telah terbalik selepas masuk ke laluan kiri menghala ke bandar baharu Pasir Puteh di kawasan tersebut.

"Kesannya, pengguna jalan raya lain yang sedang menunggu lampu isyarat turut menjadi mangsa limpahan batang besi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut akan dilakukan.