'Saya tak mahu terlibat permainan tuding menuding'

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika sidang media selepas merasmikan majlis Pra Pelancaran Kulim Smart Parking di Wisma Darulaman, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika sidang media selepas merasmikan majlis Pra Pelancaran Kulim Smart Parking di Wisma Darulaman, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor enggan terlibat dalam ‘permainan’ yang mempunyai elemen tuding menuding membabitkan projek ladang durian musang king di Gunung Inas, Baling, antara Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata, tindakan menyalahkan antara satu sama lain tidak akan mengubah apa yang berlaku dan tidak dapat mengembalikan keadaan asal yang menimpa penduduk yang terjejas.

Menurutnya, kerajaan negeri hanya ingin memberi tumpuan kepada usaha menyalurkan bantuan kepada semua mangsa banjir yang berlaku pada minggu lalu itu.

"Saya tak mahu terlibat dalam permainan tuduh-menuduh itu, ada pihak cuba seret saya, tetapi saya tak mahu tuding pada sesiapa,” katanya pada sidang akhbar selepas pra pelancaran Kulim Smartparking Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi tegaskan, beliau hanya memperjelaskan apa yang berlaku apabila disoal pihak media berkaitan insiden terbabit.

“Orang tanya saya jawablah, saya tak mahu cari salah orang, tak ada faedah pun. Ia tidak akan selesaikan masalah yang menimpa mangsa. Mangsa semua bersedih di sana, kita pula asyik bergaduh, tak payah lah gaduh sana sini,” katanya.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah untuk memastikan nasib kesemua mangsa banjir terlibat diberikan pembelaan sewajarnya, bukannya mencari salah siapa.

“Tolonglah selesaikan masalah yang sedang berlaku. Asyik desak siapa bersalah? Kalau bersalah jadi apa? Adakah rumah hanyut akan terbina semula bila kita jumpa orang yang bersalah itu?” soalnya sinis.

Pada 6 Jun lalu, bencana banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Baling dikaitkan dengan projek ladang durian musang king di puncak Gunung Inas, yang mengorbankan tiga nyawa penduduk dan ribuan penduduk terjejas.

Pada Selasa, Mukhriz mendakwa syarikat ECK Group diberikan kebenaran menanam durian di Gunung Inas ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang ketika itu ditadbir oleh Ahmad Bashah antara 2016 hingga 2018.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, kelulusan ladang hutan untuk tanaman getah jenis timber latex clon (TLC) di Gunung Inas dilakukan pada era pemerintahan BN pada 2007, bukannya oleh kerajaan Pas pimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak selain mendakwa penebangan balak dilakukan antara tahun 2018 dan 2019.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, pihaknya tidak pasti sama ada syarikat yang membangunkan ladang durian musang king di puncak Gunung Inas menghentikan operasi selepas arahan dikeluarkan pada 2020.

“Saya tak tahu syarikat itu berhenti kerja atau tidak, mereka sudah terima arahan henti kerja. Kita keluar arahan sepatutnya syarikat itu kena patuh. Sukar untuk saya pastikan sebab saya tidak boleh berada di tapak projek itu sepanjang masa,” katanya.

Menurutnya, arahan kepada syarikat terbabit untuk memberhentikan kerja menanam durian dilakukan pada Julai 2020 selepas menerima aduan penduduk Kampung Iboi, yang sebelum itu terkesan banjir lumpur akibat projek tersebut sejak 2019.

“Arahan itu kekal sehingga kini. Tinjauan udara yang saya buat memang nampak ada tumbuhan tutup bumi cuma di kawasan alur masuk ke sungai tak ada tumbuhan sebab sudah jadi laluan air," katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, apa yang berlaku di Gunung Inas harus dijadikan pengajaran agar ia tidak berulang di kawasan lain.