Kepala air: Beri masa secukupnya lengkapkan laporan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri meminta semua pihak memberi masa secukupnya kepada agensi kerajaan dan jawatankuasa yang ditubuhkan untuk melengkapkan laporan berhubung punca kejadian kepala air di Gunung Inas, Baling.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tiada keperluan untuk menyiapkan laporan dengan tergesa-gesa semata-mata mahu memenuhi desakan pihak tertentu mahupun netizen.

Menurutnya, buat masa ini agensi terlibat sedang giat mengumpulkan maklumat dan dapatan kajian berhubung punca dan penyelesaian masalah.

“Berapa lama? Saya tak tahu, terpulanglah kepada jabatan terlibat. Kenapa nak cepat sangat? Benda sudah pun berlaku, kita tak perlu teruja dengan naratif yang dibawa netizen kononnya perlu hukum segera pesalah, tak ada manfaat pun. Itu bukan penyelesaian kepada masalah. Pesalah yang dikenal pasti biar lambat pun akan dihukum,” katanya pada sidang akhbar selepas pra pelancaran Kulim Smartparking Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, sekiranya laporan berkenaan terlalu cepat disiapkan, akan kedengaran pula pihak yang akan mempersoalkan kesahihan laporan.

“Lambat sikit tak apa, ia sedang dalam proses, yang penting sekarang bukan cari sebab tetapi menyelamatkan apa yang telah berlaku dan kita selesaikan apa yang ada di tapak yang terkesan termasuk kediaman yang berada dekat sungai dan berisiko.

“Laporan sedang disediakan berdasarkan kajian jabatan-jabatan yang bertanggung jawab yang akan tampil dengan sebab-sebab yang membawa kepada bencana. Kita tunggu laporan agensi dan jabatan teknikal untuk kemukakan pandangan mereka,” katanya lagi.

Menurutnya, antara aspek yang diberikan perhatian adalah untuk mencari persamaan dan perbezaan kejadian kepala air di Gunung Inas, Baling dan Gunung Jerai di Yan yang berlaku pada tahun lalu.

“Di Baling, hutannya digondolkan beberapa belas tahun dan berlaku banjir atau aliran puing. Di satu tempat lain pula hutannya masih banyak dan tak pernah dibalak, pun berlaku aliran puing.

“Kenapa dua situasi berbeza hutannya, muka buminya, yang sama adalah kawasan bukit. Satu hutan belantara dan satu lagi ladang durian dan tanaman tutup bumi boleh berlaku aliran puing yang kesannya hampir sama. Tentulah ada penjelasan munasabah,” ujarnya.

Muhammad Sanusi berkata, apa jua andaian yang dihebohkan, pihaknya hanya akan merujuk kepada laporan daripada jabatan dan agensi secara berfakta.

“Ramai desak saya supaya segera buat kesimpulan bahawa ladang durian musang king itulah punca banjir. Saya tak boleh buat macam itu, sebagai ketua kerajaan saya perlu rujuk laporan yang ada. Kalau saya mendahului laporan, tiba-tiba dapatan daripada agensi berlainan, akan timbul pula masalah lain,” katanya.

Menurutnya, antara agensi terlibat adalah Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Dalam pada itu, katanya, rumah penduduk yang berdekatan rizab sungai dan berisiko akan dipindahkan secara berperingkat.

“Pejabat Tanah dan Galian Baling sedang menentukan jarak antara tanah pemilik rumah dengan rizab sungai kerana sebahagian merupakan tanah bergeran. Fasa berikutnya ialah memindahkan penduduk di sungai-sungai berisiko ke tempat lain,” katanya.

Muhammad Sanusi memberitahu, pihaknya akan melantik anak syarikat kerajaan negeri untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih dan pembinaan rumah ganti kepada mangsa banjir.

“Kos rumah dianggarkan RM57,000 selain cadangan supaya kita bina rumah berdasarkan keperluan keluarga terlibat. Kita akan bayar RM400 untuk sewa rumah, RM100 untuk utiliti selama enam bulan dan akan diserahkan sekaligus.

“Jambatan Bailey mungkin akan digunakan lebih lama kerana untuk bina jambatan baharu perlukan masa setelah fizikal sungai dan jalan telah berubah. Jambatan akan dibina lebih tinggi daripada kedudukan asal dan perlukan lakaran baru dan peruntukan,” katanya.

Menurutnya, terdapat 1228 laporan polis yang diterima berkaitan bencana setakat ini berbanding laporan awal sebanyak 800.