LZS kaji tambah kadar had kifayah bantu asnaf

Mohd Sabirin
Mohd Sabirin
A
A
A

KLANG - Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedang mengkaji keperluan untuk meningkatkan kadar had kifayah untuk menyalurkan bantuan kepada golongan fakir, miskin dan asnaf seiring dengan kenaikan kos sara hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, peningkatan kadar tersebut sekali gus mampu akan meningkatkan pertambahan asnaf fakir dan miskin di negeri tersebut.

Menurutnya, penilaian akan dibuat melihat impak kenaikan kos sara hidup sama ada bersifat sementara atau berpanjangan.

"Kajian untuk melihat had kifayah itu sedang dilaksanakan dan kita akan melihat secara keseluruhan sama ada impaknya sementara atau berterusan.

"Bagaimanapun sebelum dapat ketetapan yang sebenar mengenai had kifayah ini, kita masih salurkan bantuan mengikut keperluan asnaf mengikut had kifayah sedia ada."

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Program Korban Perdana 2022 di Kompleks Bait Al-Hasanah, Kampung Perepat, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Sabirin berkata, kira-kira 2,000 keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan setiap tahun.

Namun katanya, jumlah permohonan yang memohon bantuan daripada LZS lebih tinggi berbanding bilangan keluarga yang keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Jika asnaf sedia ada memerlukan bantuan, mereka boleh terus memohon bantuan tambahan yang diperlukan dan kita perlu buat taksiran sewajarnya.

"Jika mereka layak, kita akan salurkan bantuan tersebut kepada mereka," katanya.

Pada program tersebut, sebanyak 13 ekor lembu dan empat ekor kambing dikorbankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Ia merupakan sumbangan dari syarikat pengeluar zakat Medkad Sdn Bhd, Persatuan Pengurusan Petronas Malaysia dan individu perseorangan yang akan diagihkan kepada 300 orang asnaf fakir dan miskin di sekitar daerah Klang, Petaling dan Kuala Langat.

Dalam program sama, LZS berserta penyumbang turut menziarahi tiga keluarga asnaf fakir dan miskin di kawasan berhampiran bagi berkongsi pengalaman realiti kehidupan asnaf, di samping menyerahkan sumbangan daging korban dan barangan kering.