'Jangan layan sangat apa orang nak cakap' - Tunku Ismail

Tunku Ismail & Tangkap layar ciapan Twitter Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan isu kasut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Tunku Ismail & Tangkap layar ciapan Twitter Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan isu kasut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi terus menjalankan tugas dan tidak melayan isu kasut yang dimainkan.

Tunku Ismail menerusi akaun Twitter baginda turut menyindir laporan berkenaan dengan mencadangan Onn Hafiz memakai selipar selepas ini.

"Benda macam ni pun jadi isu? Datuk saya cadangkan lepas ni Datuk pakai selipar sahaja.

"Baru semalam saya terfikir nak hadiahkan jam tangan pada Datuk dan beberapa pegawai kerajaan.

"Datuk, nasihat saya jalankan tugas untuk negeri Johor. Jangan melayan sangat apa orang nak cakap. Yang penting buat kerja," tulis baginda dalam ciapan menerusi akaun Twitternya.

Pada Isnin, Onn Hafiz dilaporkan menafikan membeli sepasang kasut yang berharga puluhan ribu ringgit.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau dilaporkan berkata, kasut itu adalah kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Sebelum itu, beberapa akhbar berbahasa Cina melaporkan isu kasut itu yang dipetik daripada akaun media sosial milik seorang individu mendakwa Onn Hafiz membeli kasut berharga ribuan ringgit sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.