Masjid guna kaedah menabung laksana korban

Zulkifli Muhamed
Zulkifli Muhamed
A
A
A

SEREMBAN - Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang di sini menggunakan kaedah menabung setiap bulan untuk melaksanakan ibadah korban setiap tahun.

Ketua Pentadbir Masjid, Zulkifli Muhamed berkata, kaedah itu mula diperkenalkan pada tahun 2014 dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk.

Menurutnya, sebaik saja ibadah korban selesai dilaksanakan, penduduk akan diuar-uarkan untuk menyertai ibadah korban pada tahun akan datang.

"Contohnya tahun ini Hari Raya Aidiladha pada bulan Julai. Jadi pada bulan Ogos itu yang nak sertai ibadah korban tahun depan dah perlu mula buat bayaran ansuran pada masjid.

"Kadar bayaran itu mengikut harga pasaran lembu yang mana kita telah pun buat tempahan awal dengan penternak," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, ia hanya dihadkan kepada 10 ekor lembu saja setiap tahun bagi memudahkan urusan pelaksanaan ibadah korban di masjid yang ruangnya tidak besar.

Jelas Zulkifli, kaedah menabung sebegitu dapat mengurangkan rasa beban kepada mereka yang berniat melaksanakan korban.

"Sememangnya menyertai ibadah korban ini disunatkan kepada yang mampu, tapi bila kita guna kaedah menabung sebegini, orang tidak rasa terbeban sangat untuk bayar sekaligus.

"Pada masa sama niat orang nak berkorban itu tak pernah putus kerana setiap bulan dia sentiasa ingatkan diri untuk bayar duit bagi pelaksanaan ibadah korban yang telah disertai," katanya.

Bagaimanapun katanya, mereka yang berhasrat menarik diri menyertai ibadah korban dibenarkan dengan syarat perlu mencari pengganti.

Ujarnya, masjid memahami sesetengah orang kemungkinan berdepan kesulitan yang tidak diduga.

"Pernah juga berlaku peserta ibadah korban yang dah daftar meninggal sebelum hari korban, jadi kita akan cadangkan kepada waris untuk meneruskannya.

"Bagusnya kaedah begini kerana kita dapati ramai golongan muda turut sertai kemungkinan mereka rasa mampu untuk buat bayaran setiap bulan itu berbanding untuk bayar sekaligus apabila tiba masanya," katanya.