Budak OKU dikhuatiri lemas di Tawau

Operasi SAR Muhammad Fakhri (gambar kecil) dilakukan pasukan bomba di sungai Kampung Jawa Lanut, Tawau.
Operasi SAR Muhammad Fakhri (gambar kecil) dilakukan pasukan bomba di sungai Kampung Jawa Lanut, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dikhuatiri lemas di sungai selepas dilaporkan hilang dalam kejadian di Kampung Jawa Lanut di sini pada Ahad.

Mangsa, Muhammad Fakhri Zhafrah Afandi Muhammad Maulidin, 7, disedari hilang kira-kira jam 12 tengah hari sebelum laporan dibuat kepada pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.20 petang.

Katanya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lima kilometer dari BBP Tawau.

"Menurut ibu mangsa, kanak-kanak terbabit adalah OKU dan hanya disedari hilang pada tengah hari tadi.

"Usaha mencari mangsa telah dilakukan penduduk kampung namun mangsa gagal ditemui. Pasukan bomba tiba di lokasi bertindak mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, SAR dilakukan di sekitar kawasan sungai dengan bantuan daripada penduduk kampung berkenaan.

"Operasi pencarian mangsa dilakukan di kawasan permukaan sungai sejauh empat kilometer, namun sehingga kini mangsa belum ditemui lagi.

"Operasi diteruskan dan maklumat mengenai operasi akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.