Perancangan pengangkutan perlu libat banyak agensi, kementerian

Ka Siong dalam sidang media selepas melancarkan Pelan Hala Tuju 10 Tahun Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di sini pada Sabtu. - Foto Bernama
Ka Siong dalam sidang media selepas melancarkan Pelan Hala Tuju 10 Tahun Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di sini pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perancangan pengangkutan negara sememangnya memerlukan penyelarasan banyak agensi dan kementerian selain penglibatan Kementerian Pengangkutan (MOT), kata Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Mengulas kenyataan seorang pakar yang menyatakan pembangunan ekonomi Malaysia terhalang apabila banyak kementerian dan agensi terlibat dalam perancangan pengangkutan, Ka Siong berkata, kebanyakan perkara di negara ini memerlukan kerjasama dan penglibatan banyak pihak.

"Itu hakikatnya, jalan pun kita ada empat jenis di mana jalan raya persekutuan diselanggara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), jalan negeri oleh kerajaan negeri.

"Terdapat jalan raya bandaran yang disenggara oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ada jalan kampung bawah pejabat daerah,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Pelan Hala Tuju 10 Tahun Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di sini pada Sabtu.

Mengambil contoh pembinaan jalan raya, beliau menjelaskan, ia dibina oleh JKR tetapi penguatkuasaan undang-undang jalan raya dilakukan oleh MOT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala dasar pembinaan jalan raya mungkin di bawah pelan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bagaimanapun, Ka Siong berkata, beliau menerima pandangan tersebut kerana setiap pakar mempunyai pandangan masing-masing dalam sesuatu perkara mahupun bidang.

Media tempatan melaporkan seorang perunding pengangkutan berkata, perkhidmatan pengangkutan awam dan perancangan sistem pengangkutan telah berpecah susulan tiga kementerian memainkan pelbagai peranan dalam membuat keputusan.

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan akan melanjutkan tambang percuma kepada semua pengangkutan awam kendalian RapidKL yang akan berakhir 16 Julai ini, Ka Siong berkata, setakat ini MOT berpegang kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada 16 Jun lepas, Perdana Menteri ketika berucap melancarkan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu mengumumkan perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL merangkumi MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Bas (BRT), monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula 16 Jun.

Ka Siong berkata, tambang percuma yang dibuat sempena pembukaan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu itu adalah bagi mengurangkan kos rakyat selain memberi pilihan untuk menggunakan pengangkutan awam sebagai alternatif.

Mengenai Pelan Hala Tuju 10 Tahun TAR UMT, Ka Siong yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC berkata, pelan hala tuju itu penting untuk mengubah TAR UMT menjadi hab pembangunan bakat masa depan yang terkenal di Malaysia dan rantau ini menjelang 2030.

Pelan hala tuju itu menggariskan strategi, matlamat, aspirasi dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh TAR UMT untuk menzahirkan visinya sebagai hab pembangunan bakat yang berdaya tahan pada masa hadapan menjadi kenyataan.

Presiden MCA itu juga berkata, melahirkan siswazah berkualiti tinggi adalah penting bagi parti politik seperti MCA sebagai satu daripada objektif mereka. - Bernama