Kekerapan tren LRT dipertingkat pada Ogos

Wee Ka Siong. - Foto Bernama
Wee Ka Siong. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kekerapan tren bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dijangka dapat dipertingkat pada Ogos ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, kekerapan antara tren akan dikurangkan daripada lapan minit kepada sekurang-kurangnya lima minit selepas lebih banyak gerabak rosak diperbaiki.

"Kita dah kenal pasti apa sebabnya, sekarang perlu dibuat pembaikan. Jadi Ogos ini interim progress kita kekerapan pada lima minit dan November barulah kita dapat membaiki sepenuhnya (masalah tren),” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Terdahulu, Ka Siong mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menaiki Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu dari Stesen Kampung Batu ke Stesen Sri Damansara Sentral di sini.

Beliau berkata, pihaknya menetapkan sasaran pada Ogos dan November kerana perlu melakukan banyak penyelenggaraan pencegahan atas faktor keselamatan.

Ka Siong berkata, pihaknya memohon maaf kepada pengguna LRT yang terjejas namun menegaskan bahawa sebarang kelewatan tidak dapat dielakkan demi keselamatan.

"Kalau kita masih gunakan (tren bermasalah) dan ada risiko, kita tidak mahu sebarang insiden yang tidak diingini (berlaku),” katanya.

Pada 22 Mei lepas, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengenal pasti punca utama kebocoran bendalir hidraulik dan kerosakan angkup brek LRT laluan Kelana Jaya yang tergendala.

Jawatankuasa itu terdiri daripada syarikat pembekal alat ganti tren kendalian Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), pengeluar peralatan asli (OEM) dan perunding luar. - Bernama