Ayuh Bangkit Tze Yong

Tze Yong bakal menggalas cabaran besar pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Tze Yong bakal menggalas cabaran besar pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
A
A
A

PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dinasihatkan tidak terlalu terbawa-bawa dengan prestasi hambar pada Terbuka Malaysia 2022 dan Malaysia Masters 2022.

Sebaliknya, pemain yang kini berada di ranking ke-48 dunia itu perlu segera bangkit sekiranya mahu mencipta kejutan pada Sukan Komanwel Birmingam 2022 yang akan membuka tirainya 28 Julai ini.

Itu antara nasihat bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim yang melihat Tze Yong mampu mencipta kejutan sekiranya dia kembali tampil dengan watak sebenarnya di tengah gelanggang.

“Saya harap Tze Yong tidak terbawa-bawa dengan kekalahan dia dalam dua kejohanan sebelum ini. Dia kena cepat move on kalau mahu cipta kejutan pada Sukan Komanwel nanti.

“Sebab kalau dia masih sama seperti ini, saya rasa agak susah untuk dia tampilkan persembahan terbaik kerana lawannya di Birmingham bukan calang-calang antaranya, Lakshya Sen dan Loh Kean Yew.

“Pada masa sama, dia jangan terlalu letak tekanan dekat diri dia untuk dapat pingat. Dia cuma perlu nikmati perlawanan dan ambil segala pengalaman beraksi di Birmingham.

“Saya rasa kalau dia boleh buat perkara positif yang mampu membangkitkan semangatnya, tak mustahil dia mampu cipta kejutan pada Sukan Komanwel Birmingham,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Tze Yong dipilih untuk menggalas cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki negara selepas jaguh profesional, Lee Zii Jia menarik diri atas sebab mahu memberi tumpuan penuh pada Kejohanan Dunia di Jepun.

Namun, aksi hambar yang ditampilkan Tze Yong dalam dua kejohanan di Axiata Arena, Bukit Jalil menyebabkan ramai pihak meragui kemampuannya untuk mencipta kejutan di Birmingham.

ROSLIN
ROSLIN

“Tze Yong harus melupakan aksinya pada Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia. Dia perlu segera untuk mendapatkan rentak permainan sebelum ini ketika menjuarai beberapa kejohanan.

“Walaupun tak dapat sepenuhnya, sikit pun jadi. Kalau dia dapat rentak itu, saya percaya dia mampu mencipta sesuatu yang boleh dibanggakan pada Sukan Komanwel nanti,” ujar Roslin.