Kerajaan digesa kekalkan hukuman mati mandatori bagi jenayah berat

Musa (tengah) ketika sidang media bersama MHO di Sungai Besi, di sini, pada Jumaat.
Musa (tengah) ketika sidang media bersama MHO di Sungai Besi, di sini, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa supaya mengekalkan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan jenayah berat melibatkan kehilangan nyawa termasuk bagi kes membabitkan dadah bersindiket.

Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, keadilan perlu dilaksanakan secara menyeluruh bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga kepada mangsa.

Menurut beliau, kesalahan hukuman mati mandatori itu perlu dikekalkan antaranya bagi kesalahan membunuh dan keganasan mengancam nyawa dan keselamatan negara.

"Memang kita iktiraf hak asasi kemanusiaan tetapi kita juga perlu mengiktiraf hak asasi kepada pihak mangsa yang kehilangan ahli keluarga akibat perbuatan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di Sungai Besi, di sini, pada Jumaat.

Pada 15 Jun lalu, kerajaan mengumumkan antara 11 kesalahan yang terlibat di bawah pemansuhan hukuman mandatori kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri, melakukan perbuatan pengganas serta mengarahkan dan menyediakan harta untuk pengganas yang mengakibatkan kematian.

Pemansuhan itu turut melibatkan kesalahan berkhidmat untuk pengganas dan menerima suapan bagi memudahkan pengganas yang mengakibatkan kematian.

Turut diliputi untuk dimansuhkan adakah kesalahan menerima suapan memudahkan aktiviti jenayah terancang yang mengakibatkan kematian, kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mengambil tebusan, melepaskan tembakan daripada senjata api di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Perihal Lebih Berat) 1971 dan rakan sejenayah seksyen sama turut disenaraikan di bawah pemansuhan tersebut.

Dalam pada itu, Musa berkata, sebagai bekas Ketua Polis Negara, beliau percaya proses pertuduhan bagi kes jenayah berat melibatkan pembunuhan perlu melalui pelbagai peringkat sebelum pertuduhan dilakukan.

Katanya, selain siasatan ketat pihak polis, pihak pendakwa raya juga mempunyai tugas berat untuk memastikan tuduhan tidak melangkaui keraguan munasabah.

"Untuk kita memastikan jenayah dikurangkan dan menjadikan kegerunan kepada mereka yg nak melakukan jenayah, jadi hukuman mati mandatori perlu diwujudkan.

"Jadi saya menyeru kepada kerajaan untuk menilai semula pemansuhan hukuman mati mandatori tadi dan menentukan ia perlu ada bagi kes berat yang serius yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan rakyat Malaysia kita," ujar beliau.

Dalam pada itu, Musa berkata, MCCC dan MHO dalam perancangan untuk bertemu Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori bagi mengemukakan syor mereka berkenaan perkara tersebut.