Penduduk teruskan bantahan projek taman perindustrian

Mohd Fahmi (depan) bersama kira-kira 200 orang penduduk mengadakan bantahan aman cadangan projek pembinaan taman perindustrian di Bertam, Kepala Batas pada Jumaat.
Mohd Fahmi (depan) bersama kira-kira 200 orang penduduk mengadakan bantahan aman cadangan projek pembinaan taman perindustrian di Bertam, Kepala Batas pada Jumaat.
A
A
A

KEPALA BATAS - Penduduk di sekitar Bertam akan terus melakukan bantahan terhadap cadangan pembangunan projek taman perindustrian di tapak seluas lebih 339 hektar di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir di sini.

Malah mereka akan menggunakan segala saluran yang ada termasuk mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menghalang projek berkenaan diteruskan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Membantah Pembinaan Taman Perindustrian dan Asrama Pekerja Asing Bertam, Dr Mohamad Sukeri Khalid berkata, sekiranya projek berkenaan diteruskan, ia bukan sahaja akan menjejaskan kualiti hidup penduduk di sini malah mengundang ancaman keselamatan.

Menurutnya, amat tidak wajar cadangan untuk membangunkan taman perindustrian di kawasan Bertam yang terlebih dahulu dilingkungi dengan penempatan penduduk sekali gus akan memberi kesan kepada hampir 50,000 penduduk di sini.

"Kita tidak mahu masyarakat di sini terancam dengan kemasukan industri selepas kawasan pembangunan penempatan dibangunkan dengan begitu cantik dan selesa.

"Kalau industri datang dahulu kita tiada masalah tetapi kita lihat kawasan Bertam yang dilingkungi oleh penempatan penduduk dan tiba-tiba dibawa masuk elemen industri, ia sesuatu yang bercanggah dengan teori ekonomi dan pembangunan wilayah itu sendiri," katanya selepas mengadakan bantahan aman di hadapan Surau Al-Muttaqin, Bandar Putra Bertam di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Wakil Gabungan Komuniti Bandar Putra Bertam, Mohd Fahmi Rejab berkata, walaupun kerajaan negeri telah mengadakan sesi town hall berhubung cadangan pembangunan projek itu baru-baru ini, namun ia dianggap gagal.

Jelasnya, ia disebabkan sesi berkenaan hanya menyebelahi pihak pemaju tanpa memberi peluang kepada penduduk untuk menyatakan bantahan.

"Kami rasa juga seperti dipermainkan selepas surat bantahan yang telah dihantar kepada pihak berwajib sehingga kini belum menerima ulasan atau jawapan bertulis.

"Kami duduk di sini bukan untuk hari ini sahaja tapi sehingga 20 atau 30 tahun lagi dan mungkin untuk selamanya.

"Jangan gadaikan tanah dan harta kami serta masa depan anak-anak semata-mata dengan pembangunan yang tidak diperlukan di sini," katanya.