Kerajaan perlu teliti semula kenaikan OPR: Cuepacs

Gambar Hiasan. Foto kecil: Adnan Mat
Gambar Hiasan. Foto kecil: Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu meneliti semula sebarang keputusan mengenai dasar monetari negara oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada masa hadapan termasuk kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, sekiranya OPR terus dinaikkan pada tahun ini, ia akan memberi tekanan kepada kebanyakan rakyat.

“Kenaikan gaji yang tidak begitu ketara berbanding peningkatan kos sara hidup sudah pasti membebankan rakyat. Andaian kerajaan bahawa peningkatan OPR boleh mengurangkan kenaikan kadar inflasi tidak boleh diterima secara konklusif.

“Sebaliknya kerajaan perlu melihat secara lebih luas di luar kotak bagaimana menghadapi masalah inflasi ini tanpa menyalurkan kesannya kepada rakyat secara langsung.

"Begitu juga dengan langkah lain yang dibuat kerajaan bagi menangani masalah inflasi perlu melihat kesan terus kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan OPR secara berturut-turut pada tahun ini iaitu pada Mei dan Julai telah menimbulkan kebimbangan ramai pihak terutama golongan rakyat B40 dan M40.

Jelasnya, kebanyakan pinjaman yang dilakukan oleh golongan itu adalah berkeperluan seperti pinjaman kenderaan serta kediaman termasuk pinjaman peribadi.

“Lebih memeritkan lagi adalah sekiranya pinjaman yang dilakukan mereka dibuat pada ketika OPR rendah sekitar Julai 2020 hingga Mei 2022. Sudah tentu kenaikan OPR yang begitu drastik ketika ini mengakibatkan pendapatan boleh guna berkurang kerana pendapatan sedia ada perlu disalurkan untuk membayar kenaikan kos pinjaman,” ujarnya.

Tambah Adnan, situasi ekonomi semasa negara yang tidak begitu baik berikutan kenaikan harga barangan asas turut memberi kesan berganda kepada kesejahteraan hidup rakyat.

“Ketika ini Cuepacs tidak melihat apa-apa jaminan daripada kerajaan untuk menstabilkan harga barangan yang naik ketika ini.

“Walaupun BNM memaklumkan bahawa keputusan untuk menaikkan OPR ini dibuat bagi mengekang peningkatan kadar inflasi negara, Cuepacs tidak merasakan harga barangan asas yang naik begitu mendadak ketika ini dapat diturunkan sama seperti sebelum kenaikan berlaku.

“Harus diakui bahawa golongan berpendapatan rendah menggunakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk membayar pinjaman perumahan, khasnya yang menetap di kawasan bandar dan pinggir bandar. Sekiranya harga barangan keperluan dan kos pinjaman terus meningkat, mereka inilah yang akan terkesan,” ujarnya.