Ada lagi ‘bom jangka’ bakal cetus insiden kepala air di Kedah

Sebuah van yang dihanyutkan arus tersadai dalam lumpur di Kampung Iboi pada petang Isnin. Gambar kecil: Mohd Sobri
Sebuah van yang dihanyutkan arus tersadai dalam lumpur di Kampung Iboi pada petang Isnin. Gambar kecil: Mohd Sobri
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS) Kedah memberi amaran kemungkinan terdapat beberapa lagi ‘bom jangka’ membabitkan alam sekitar yang perlu ditangani segera oleh kerajaan negeri Kedah bagi mengelak tragedi kepala air berulang.

Penyelaras Latihan GRASS Kedah, Mohd Sobri Ramlee berkata, hasil pemerhatian mendapati terdapat beberapa kawasan lain mungkin bakal mengalami nasib sama seperti Kampung Iboi, Baling sekiranya tiada tindakan drastik dilakukan.

Menurutnya, antara paling kritikal kemungkinan kehilangan hutan di Ulu Muda yang boleh mengakibatkan bencana banjir selain berupaya menjejaskan bekalan air kepada Kedah dan Pulau Pinang terutama pada musim kemarau.

“Saya mohon kerajaan negeri beri perhatian kepada Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik, kawasan yang berisiko adalah sekitar laluan Sungai Chepir dan Kampung Charok Tok Pong.

“Selain itu, kompleks Hutan Simpan Ulu Muda sekitar Kampung Lentang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ampang Muda juga turut berisiko kesan daripada aktiviti pembalakan di Ulu Muda selain pengambilan pasir di hulu sungai.

“Malah kami pernah nyatakan sebelum ini kemungkinan Kampung Iboi berisiko dilanda banjir besar selepas tragedi di Yan tahun lepas,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Sobri yang juga Penasihat Sahabat Alam Sik mencadangkan agar Syarikat Air Darul Aman (SADA) menyalurkan bekalan air terawat kepada penduduk di kawasan terjejas banjir dan tidak menyalahkan penduduk kerana membina kolam takungan air masyarakat (tandak) di sungai-sungai berdekatan bagi menampung keperluan sumber air bersih.

“Tandak air yang telah dibina penduduk dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) perlu didaftarkan untuk digazetkan sebagai kawasan tadahan air. Ini bagi memastikan sumber air bersih penduduk terjamin berdasarkan Seksyan 34(b), Akta Perhutanan Negara 1984.

“Kerajaan negeri perlu membantu rakyat daftarkan semua tandak-tandak yang ada seperti mana tandak air di Hutan Simpan Bukit Enggang yang dapat diselamatkan kerana wakil penduduk mendaftarkannya dengan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah. Kawasan tandak yang berdaftar dapat dikeluarkan dari kawasan cadangan pembalakan sementara menanti SADA bekalkan air terawat,” ujarnya.

Beliau berkata, penubuhan Siasatan Di Raja (RCI) wajar diadakan bagi mengenal pasti kelemahan yang wujud selain melindungi Hutan Simpan Gunung Inas bagi mengembalikan ekosistem yang stabil.

“Laporan terperinci berkaitan kolam takungan atau sedimentasi perlu dilakukan, adakah mematuhi piawaian ditetapkan Jabatan Alam Sekitar dan diselenggara secara berkala oleh pemaju projek serta dipantau pihak berwajib?

“Ini termasuk laporan lengkap berkenaan kaedah mitigasi dalam Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), perbaiki kelemahan yang ada dan lakukan kajian semula EIA berdasarkan kepada kesan yang telah berlaku,” jelasnya.

Mohd Sobri berkata, pihak berwajib juga perlu memastikan zon penampan dipatuhi dan jika berlaku pelanggaran tindakan tegas wajar diambil terhadap pemaju.

“Pastikan pelaksanaan ladang monokultur ini penuhi kriteria ladang hutan seperti dinyatakan oleh Jabatan Perhutanan, antaranya pembangunan di kawasan berkecerunan melebihi 25 darjah tidak dibenarkan, risiko musnahkan kawasan rizab sungai, projek di kawasan yang bukan ditakrif hutan miskin serta pemilihan spesis pokok tidak disenaraikan.

“Sejak pembangunan ladang monokultur berskala besar dilaksanakan dalam negara melalui kaedah pajakan kepada syarikat konsesi dalam jangka masa lama, kami membantah kerana didapati fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas,” katanya.

Jelasnya lagi, terdapat kawasan pembangunan ladang monokultur merupakan kawasan koridor hidupan liar seperti gajah dan harimau belang, selain penempatan Orang Asli.

Dalam pada itu, Mohd Sobri tidak menolak kemungkinan projek tanaman durian musang king di Gunung Inas menyumbang kepada tragedi banjir lumpur di Kampung Iboi.

“Tidak mustahil kolam sedimentasi pecah kerana tidak diselenggara dengan baik, terdapat beberapa kolam takungan dibina untuk projek durian bagi mengurangkan pengaliran terus lumpur ke sungai berdekatan.

“Mungkin juga kolam tersebut tidak dibina mengikut standard Jabatan Alam Sekitar atau zon penampan tidak patuhi kriteria ditetapkan, menyebabkan lumpur terus memasuki sungai berhampiran,” katanya.

Beliau mendakwa kemungkinan projek yang dibangunkan tidak memenuhi kriteria ladang hutan seperti pembukaan di kawasan cerun melebihi dari had 25 peratus dan pemilihan spesis pokok yang salah.

“Tinjauan pada 2018 mendapati berlaku hakisan tanah yang teruk selepas hutan asal diganti dengan projek durian. Sejak itu banjir lumpur jejaskan kehidupan orang kampung dan merosakkan tanaman getah, sawit dan dusun. Sumber air bersih dari Gunung Inas turut tercemar oleh lumpur, racun serangga dan baja dari ladang durian.

"Air Terjun Lata Celak turut terjejas termasuk inap desa diusahakan penduduk kampung kerana air terjun yang jernih bertukar keruh," katanya.

GRASS Kedah percaya kehilangan hutan asal telah membawa kepada banyak kesan sampingan sehingga mencetuskan banjir besar.