Gangguan bekalan air di Pulau Pinang dijangka pulih esok

Jaseni (kanan), Kon Yeow (tengah) dan Zairil (kiri) pada sidang akhbar di Komtar pada Jumaat.
Jaseni (kanan), Kon Yeow (tengah) dan Zairil (kiri) pada sidang akhbar di Komtar pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Gangguan bekalan air yang berlaku di Pulau Pinang berikutan bencana banjir di Baling dijangka akan pulih sepenuhnya menjelang pagi Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, setakat ini 80 peratus penduduk yang terjejas dengan masalah itu sudan kembali menerima bekalan air seperti biasa.

Menurutnya, baki 20 peratus lagi masih menghadapi masalah terbabit berikutan tekanan air yang masih rendah.

“Sehingga jam 10 pagi tadi, 80 peratus pengguna sudah pun menerima bekalan air seperti biasa.

“Kita jangkakan bekalan air akan kembali pulih sepenuhnya pada esok pagi,” katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Jumaat.

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, krisis bekalan air di Pulau Pinang boleh berlaku lagi sekiranya kerajaan Kedah masih mahu meneruskan beberapa projek mega, terutamanya penerokaan mineral termasuk unsur nadir bumi (REE) di Ulu Muda.

Beliau berkata, hanya kerajaan Persekutuan sahaja mempunyai kuasa untuk membantu menyelesaikan isu air di wilayah utara, sebelum ia berlarutan menjadi krisis yang lebih besar.

"Disebabkan itu Pulau Pinang meminta kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kedah mengambil serius tentang saranan untuk mewujudkan Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM).

”LLUM penting untuk menguruskan Ulu Muda secara profesional dan lestari sebagai kawasan tadahan air terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” katanya.

Beliau berharap agar kerajaan tidak lagi menangguhkan projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) bagi memastikan bekalan air di negeri itu tidak terjejas termasuk menyelesaikan isu air di wilayah utara secara amnya.

“Pulau Pinang harap kerajaan Kedah dan Perak dapat bersatu bersama kami, untuk kita menyelesaikan isu air khususnya wilayah utara bersama.

“Kerajaan Persekutuan perlu memainkan peranan penting bagi menyelesaikan perkara ini," katanya.