Kejadian kelar ibu, bayi dipercayai ada kaitan gangguan jiwa

Polis masih menyiasat punca sebenar kes seorang lelaki disyaki membunuh isteri dan bayinya yang berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru pada Isnin.
Polis masih menyiasat punca sebenar kes seorang lelaki disyaki membunuh isteri dan bayinya yang berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jiran kepada ibu dan bayi yang maut akibat dikelar suaminya di Kampung Bakar Batu di sini pada Selasa mendakwa, kejadian itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan gangguan jiwa atau ilusi.

Dia yang enggan dikenali mendakwa, suspek berusia 25 tahun itu mula mengalami gangguan selepas bekerja sebagai pencuci kapal di Jambatan Lebuhraya Senai Desaru, Kota Tinggi, dekat sini.

"Suspek bekerja mencuci sebuah kapal tangki yang telah lama dibiarkan berhampiran jambatan berkenaan sejak kira-kira sebulan lalu.

"Dia sebelum ini bekerja sebagai pencuci bangunan. Selepas dapat kerja baharu, dia mencuci sebuah kapal lama yang telah tersadai sejak beberapa tahun lalu.

"Mengikut kata rakan-rakan, suspek berubah sikap selepas bekerja di sana, ada masanya dia seolah-olah disampuk, bersilat dan beraksi seperti seekor harimau," katanya ketika ditemui di kampung itu pada Jumaat.

Selasa lalu, suspek ditahan polis selepas dipercayai mengelar isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan anaknya, Hans Mohd Thakif yang berusia tiga bulan di kediaman mereka di kampung itu pada jam 12 tengah hari.

Suspek yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu ditahan di Permas Jaya tidak lama selepas tular beberapa rakaman video yang memaparkan dia menunggang motosikal dalam keadaan berbogel.

Tambah jiran berkenaan, pada malam sebelum kejadian berlaku, jiran-jiran ada terdengar suara pertengkaran di kediaman suspek namun enggan mengambil tahu kerana menyangka hanya perselisihan biasa pasangan suami isteri.

Katanya, pagi sebelum kejadian ada jiran yang mendengar pasangan itu bertengkar namun tidak jelas apa yang diperkatakan.

"Perubatan secara tradisional atau rawatan mental (mungkin) boleh membantu serta menjelaskan kejadian pembunuhan kejam itu kerana sehingga kini siasatan polis mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah atau sebarang bahan terlarang.

"Penduduk di sini tidak mahu mendengar tuduhan negatif yang dilemparkan terhadap pasangan suami isteri berkenaan kerana kedua-duanya orang yang baik," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, motif kejadian berkenaan masih dalam siasatan.

"Buat waktu ini, kita masih menyiasat motif pembunuhan kerana walaupun suspek memberikan kerjasama, dia lebih banyak 'mengunci' mulut.

"Kita sedang tunggu arahan mahkamah terlebih dahulu sebelum ujian mental dilakukan terhadap suspek," katanya.