ADUN PH Sabah kemuka usul jadikan BI bahasa rasmi kedua

Ewon Benedick dan Phoong Jin Zhe
Ewon Benedick dan Phoong Jin Zhe
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah mengemukakan usul menjadikan bahasa Inggeris (BI) sebagai bahasa rasmi kedua di Sabah dan mendesak penubuhan semula Inter-Government Committee (IGC) Perjanjian Malaysia pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan datang.

Menurut kenyataan bersama ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe, usul itu dikemukakan kepada Speaker DUN pada Jumaat bagi sidang DUN yang akan diadakan pada 18 hingga 21 Julai ini.

"Usul pertama ialah bagi DUN Sabah membuat ketetapan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di Sabah.

"Kami percaya usul ini penting bukan hanya kerana berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan IGC 1962, tetapi agar menjadikan rakyat Sabah boleh bersaing dengan lebih progresif melalui penguasaan bahasa Inggeris," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, usul kedua pula ialah bagi DUN Sabah membuat ketetapan untuk mendesak penubuhan semula IGC untuk mengkaji pelaksanaan Perjanjian Malaysia seperti yang sepatutnya.

"Iaitu bagi setiap sepuluh tahun dan mendesak pelaksanaan-pelaksanaan hak- hak dan kepentingan-kepentingan Sabah seperti yang dinyatakan dalam Laporan IGC 1962 dan MA63.

"Kami percaya ketetapan ini perlu dibuat oleh DUN bagi mempertahankan hak dan kepentingan Sabah seperti yang dinyatakan dalam MA63," katanya.

Tambah kedua ADUN itu lagi, perkara berkenaan merupakan isu utama rakyat Sabah susulan pelbagai pandangan mengenai isu-isu berkaitan MA63 termasuk adanya cadangan mahu mengadakan Perjanjian Malaysia yang baharu.

"Kami berpendirian tegas bahawa tiada keperluan untuk mengadakan Perjanjian Malaysia yang baharu, sebaliknya MA63 perlu dilaksanakan dan hak-hak Sabah perlu ditunaikan.

"Selaku wakil rakyat yang dipilih juga, kami tidak teragak-agak untuk mewakili rakyat mengambil tindakan undang-undang yang seterusnya berkaitan dengan hak-hak Sabah dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan seperti tindakan kami memfailkan saman pemula berkaitan Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, iaitu untuk menuntut pelaksanaan pembayaran semula 40 peratus hasil persekutuan di Sabah, " tegasnya.