Program Saringan Kesihatan Perkeso 2.0 ditambah baik

Mohammed Azman Aziz. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohammed Azman Aziz. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperkenalkan beberapa penambahbaikan dalam pelaksanaan Program Saringan Kesihatan Perkeso 2.0 atau HSP 2.0 yang kembali dijalankan bermula 1 Jun lalu.

Antara penambahbaikan program pemeriksaan kesihatan percuma buat pencarum itu adalah pembaharuan parameter saringan kesihatan dengan memperkenalkan saringan kesihatan mental dan penilaian risiko kesihatan keluarga bagi memastikan ia kekal kondusif dan relevan buat golongan pekerja.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, HSP 2.0 kini turut dibuka kepada pencarum yang berumur antara 30 hingga 39 tahun dan mempunyai risiko penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCD).

Katanya, kriteria baharu diperkenal itu bertujuan untuk memperluas akses saringan kesihatannya kepada pekerja daripada pelbagai peringkat umur, sekali gus membolehkan lebih ramai pencarum menikmati insentif berkenaan.

“Pelaksanaan semula HSP menerusi versi 2.0 juga adalah sejajar dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional (NHSI) yang akan dilancarkan oleh kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) pada Julai 2022.

“Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan berumur 40 tahun ke atas untuk menjalani saringan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Saringan kesihatan adalah penting bagi pengesanan dan pencegahan awal NCD dan selain berperanan mencegah isu hilang upaya dan kematian awal dalam kalangan pekerja.

Berdasarkan statistik Perkeso pada tahun 2021, seramai 16,906 pencarum dilaporkan hilang upaya atau meninggal dunia akibat NCD, dengan purata 46 kes dilaporkan kepada Perkeso setiap hari.

Dalam pada itu, Perkeso memaklumkan pelancaran semula HSP 2.0 diadakan dengan kerjasama Sime Darby Plantation Berhad (SDP) dalam satu majlis bertempat di Sime Darby Plantation Academy, Pulau Carey, Klang, pada Khamis.

Majlis pelancaran yang disempurnakan Mohammed Azman itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Upstream Malaysia SDP, Roslin Azmy Hassan.

Bersempena dengan pelancaran HSP 2.0 itu, Perkeso turut menganjurkan Program Turun Padang bagi pelaksanaan HSP 2.0 kepada kira-kira 150 orang pekerja SDP di akademi tersebut.

Perkeso juga melaksanakan saringan kesihatan asas melalui Mobile Health Screening and Injury Prevention Unit yang menggunakan bas HSP bagi memberi peluang kepada lebih ramai pekerja di SDP untuk menjalani saringan kesihatan.

Roslin berkata, sebagai sebuah syarikat yang sentiasa menitikberatkan kesihatan, keselamatan dan kebajikan pekerja, SDP amat berbangga dan berterima kasih kepada Perkeso kerana memilih syarikat tersebut sebagai lokasi pelancaran HSP 2.0.

“Sime Darby Plantation menggalakkan warga kerja untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala kerana penting untuk mengesan sebarang masalah kesihatan dan mendapatkan rawatan yang berkesan dengan lebih awal.

“Tahniah kami ucapkan kepada Perkeso kerana melancarkan satu inisiatif yang begitu positif dan relevan kepada keperluan warga kerja masa kini.

“Kami percaya, HSP 2.0 akan terus mendapat sambutan orang ramai dan meningkatkan lagi keprihatinan warga kerja di negara ini kepada penjagaan dan pemantauan kesihatan diri,” ujarnya.

Berdasarkan statistik Perkeso, seramai 3.6 juta pekerja layak mendapatkan saringan kesihatan percuma di bawah HSP dan daripada jumlah tersebut, seramai 576,902 pekerja telah menjalani saringan kesihatan tersebut.

Sebelum ini, operasi HSP terpaksa ditangguhkan sementara dari 1 April 2020 hingga 31 Mei 2022 bagi memberi laluan dan menyokong usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.