[VIDEO] Lelaki bunuh abang, kakak ipar direman tujuh hari

Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat.
Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat.
A
A
A

IPOH - Lelaki yang melarikan diri selepas membunuh sepasang suami isteri yang juga abang dan kakak iparnya di Kampung Bercham Aman di sini direman tujuh hari bermula Jumaat.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Jesseca Daimis sehingga 14 Julai depan selepas permohonan dikemukakan polis, pagi ini.

Suspek berusia 61 tahun yang memakai kemeja-T berwarna kelabu itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Ipoh kira-kira jam 8.50 pagi dengan dikawal polis.

Pada Khamis, suspek yang tidak bekerja berjaya ditahan polis di sebuah hotel di Genting Highlands, Pahang sekitar jam 7.45 malam.

Turut dijumpai bersama suspek, sebilah kapak senjata yang dipercayai digunakan untuk mendatangkan kematian kepada kedua-dua mangsa.

Dia disyaki membunuh abangnya, Ng Chuan Hon, 64, dan kakak ipar, Ooi Tin Lu, 59, di kediaman mereka di Taman Bercham Aman dekat sini.

Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu dengan kesan kecederaan di kepala yang disebabkan senjata tajam dan objek tumpul.

Kejadian itu disedari abang mangsa berusia 65 tahun yang baru pulang dari tempat kerja sekitar jam 8.45 pagi.

Sebelum kejadian, dimaklumkan berlaku pertengkaran antara suami isteri itu dengan suspek yang tinggal bersama di rumah berkenaan, bagaimanapun selepas kejadian, suspek bertindak melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.