Teruja dibenarkan solat Jumaat selepas 37 tahun

Jemaah Masjid Lama Muadzam Shah gembira selepas dibenarkan mendirikan solat Jumaat pada 9 Jun lalu.
Jemaah Masjid Lama Muadzam Shah gembira selepas dibenarkan mendirikan solat Jumaat pada 9 Jun lalu.
A
A
A

ROMPIN - Jemaah Masjid Lama Muadzam Shah di sini, teruja apabila dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat selepas hampir 37 tahun ibadah tersebut tidak dijalankan di masjid itu.

Imam masjid, Bakri Mohamad berkata, Masjid Lama Muadzam Shah yang dibina sekitar tahun 1970-an itu pada asalnya merupakan masjid utama bandar Muadzam Shah.

Menurutnya, sekitar tahun 1985, selepas pembinaan masjid baharu, kesemua aktiviti dipindahkan menjadikan masjid lama itu sebagai surau.

“Pada ketika itu komuniti setempat masih tidak seramai sekarang, selain fasiliti tidak mencukupi menyebabkan jemaah dipindahkan ke masjid baharu.

"Namun pada tahun 2011, penduduk di sini berjaya menyediakan fasiliti lengkap untuk kegunaan jemaah masjid ini menerusi sumbangan orang ramai.

“Terdapat pertambahan komuniti setempat sekitar 600 jemaah membabitkan enam desa, sebuah kolej vokasional dan sebuah sekolah menengah, menyebabkan permohonan dibuat bagi mendapatkan kebenaran mendirikan solat Jumaat di masjid ini,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau menjelaskan pada 9 Jun lalu, jemaah masjid dibenarkan mendirikan solat Jumaat buat kali pertama di masjid berkenaan.

“Kami mula membuat permohonan pada tahun 2015 di mana pihak terlibat telah memberikan garis panduan bagaimana sesebuah masjid itu sesuai diadakan solat Jumaat.

“Wang sumbangan penduduk sekitar berjumlah RM600,000 telah digunakan untuk menaik taraf masjid lama ini dan akhirnya ia lengkap serta sesuai dijadikan masjid untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.

Bakri dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada wakil rakyat, pihak Pejabat Agama Islam Muadzam Shah dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (Muip) kerana merealisasikan hasrat jemaah Masjid Lama Muadzam Shah untuk mendirikan solat Jumaat di masjid itu.

“Kami jemaah masjid berasa terharu dan sebak saat pertama kali selepas hampir 37 tahun tidak dapat mendirikan solat Jumaat di masjid ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana telah berjaya merealisasikan impian kami ini,” katanya.