Isu harga barangan: Jangan sampai rakyat merana

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kenaikan harga barangan yang berlaku sejak akhir-akhir ini cukup meresahkan rakyat sehinggakan ada yang terjejas dan terpaksa mengikat perut berikutan harga barangan yang mahal.

Terdapat persatuan malahan parti politik mengadakan perhimpunan bagi memastikan kerajaan cakna terhadap perkara tersebut dengan mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya.

Tambahan lagi, minyak peket bersubsidi yang dikhaskan buat rakyat Malaysia juga telah diseleweng dan diseludup keluar dan dijual ke negara sebelah iaitu Thailand.

Ia telah membuktikan bahawa terdapat ketirisan yang akhirnya menyebabkan rakyat Malaysia sendiri terkesan akibat tidak dapat menikmati subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan.

Selain minyak dan ayam mengalami kenaikan harga, ia turut berlaku kepada barangan keperluan asas lain seperti mi segera, susu dalam tin berjenama, makanan dalam tin, air minuman botol dan telur ayam turut naik sejak minggu ini.

Menurut tinjauan Sinar Harian, mi segera berjenama naik hampir 10 peratus berbanding minggu lalu, manakala susu tin berjenama mengalami kenaikan paling tinggi sehingga 40 peratus.

Penganalisis juga telah meramalkan bahawa gelombang peningkatan harga barangan termasuk makanan di negara ini dijangka berterusan sehingga awal tahun hadapan.

Menurut mereka, ia disumbang oleh jangkaan penyusutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perkembangan ekonomi global.

Situasi penyusutan KDNK yang dilihat menyumbang kepada kelemahan ringgit akan meningkatkan harga barangan khususnya makanan yang rantaian bekalannya bergantung kepada bahan import.

Dalam masa yang sama, penganalisis turut percaya Bank Negara Malaysia (BNM) akan menormalkan lagi kadar dasarnya pada masa hadapan dan secara berperingkat menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.00 peratus menjelang tahun depan.

Jelas menunjukkan bahawa keadaan negara kini berada di satu tahap yang membimbangkan kerana akan memberi kesan terutama kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Oleh yang demikian, kerajaan melalui kementerian yang bertanggungjawab seharusnya memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam mengatasi masalah ini.

Sebelum ini, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi.

Pasukan Khas tersebut seharusnya bergerak dengan lebih progresif dalam menangani isu berkenaan seterusnya membantu dalam mengawal kenaikan harga barang dengan lebih berkesan bagi mengelak lebih ramai rakyat terjejas.