Turkiye berhasrat lancar vaksin Turkovac di Malaysia

Ismail Sabri bersama Erdogan menyaksikan Majlis Pertukaran MoU di antara MKE yang diwakili oleh Yasin Akdere dan MA Analytics Arasinda yang diwakili oleh Rasyad Anwar di Kompleks Presiden hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri bersama Erdogan menyaksikan Majlis Pertukaran MoU di antara MKE yang diwakili oleh Yasin Akdere dan MA Analytics Arasinda yang diwakili oleh Rasyad Anwar di Kompleks Presiden hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ANKARA - Turkiye berharap peningkatan hubungannya dengan Malaysia kepada perkongsian strategik yang menyeluruh akan terus memperkukuh kerjasama ekonomi dan komersial termasuk pembangunan vaksin.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, antara pelan segera republik itu, yang menjadi negara kesembilan di dunia mampu menghasilkan sendiri vaksin Covid-19 tahun lepas, ialah melancarkan vaksin Turkovac di Malaysia.

"Kami berhasrat memindahkan teknologi dan menjalankan kajian berkaitan vaksin bersama-sama," katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Turkiye.

Semasa mesyuarat pemimpin yang berlangsung di Kompleks Presiden di ibu negara Turkiye, Erdogan berkata, mereka membincangkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan, perdagangan, industri pertahanan, teknologi, kesihatan dan komunikasi.

"Pada kesempatan itu, kami sekali lagi mengesahkan tekad untuk meneruskan kerjasama yang semakin hari semakin erat.

"Atas cadangan Perdana Menteri, kami memutuskan untuk meningkatkan hubungan kedua-dua negara daripada perkongsian strategik kepada perkongsian strategik yang menyeluruh," katanya.

Erdogan juga berkata, hubungan Malaysia-Turkiye telah mencapai satu tahap yang luar biasa dengan nilai dagangan melebihi AS$3.5 bilion dan menjadikan Malaysia pemegang kepentingan komersial terbesar republik itu di Asia Tenggara.

Beliau berkata, nilai dagangan meningkat sebanyak 50 peratus tahun lepas meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19 dan angka bagi tempoh enam bulan pertama 2022 turut menunjukkan peningkatan lanjut selaras dengan sasaran mereka iaitu AS$5 bilion menjelang 2024.

Presiden Turkiye itu percaya langkah memperluas Perjanjian Perdagangan Bebas untuk memasukkan perkhidmatan, pelaburan dan perdagangan elektronik akan terus memperkukuh hubungan dari segi ekonomi serta komersial selain menjadikan perdagangan barangan dan perkhidmatan lebih seimbang.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan kemungkinan model kerjasama baharu dan projek pelaburan seperti dalam bidang keselamatan makanan, tenaga serta alam sekitar.

"Saya ingin menegaskan bahawa kami sentiasa merasakan sokongan Malaysia di pihak kami," katanya sambil menambah beliau dan Ismail Sabri turut membincangkan isu Rohingya serta Islamofobia.

Menurut Erdogan, kedua-dua negara akan memperkukuh solidariti masing-masing di platform seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam dan D8.

"Kami sedang berusaha memperkukuh kerjasama dengan semua saudara kami di Asia melalui persefahaman menang-menang dengan inisiatif Asia Again kami.

"Kami berhasrat meningkatkan kerjasama dengan ASEAN iaitu daripada status rakan dialog sektoral kepada rakan kongsi dialog," katanya. - Bernama