PJD Link: Kerajaan Selangor belum terima laporan penilaian

Izham Hashim
Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor belum menerima laporan penilaian yang menjadi syarat dalam perjanjian konsesi ditandatangani syarikat yang membangunkan Lebuhraya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link).

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pemaju perlu melaksanakan penilaian kesan alam sekitar (EIA), penilaian impak sosial (SIA) dan penilaian impak lalu lintas (TIA) sebelum projek itu dimulakan.

"Perjanjian konsesi telah ditandatangani PJD Link serta kerajaan Persekutuan pada 5 April 2022 dengan meletakkan Syarat Duluan/Condition Precedent (CP) supaya pihak syarikat melaksanakan EIA, SIA dan TIA terlebih dahulu sebelum perjanjian ini menjadi efektif dan projek boleh mula dibina.

"Syarikat pencadang perlu membawa laporan EIA, SIA dan TIA untuk dibentangkan sekali lagi ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) bagi penelitian dan kelulusan kerajaan negeri dan sehingga hari ini kerajaan negeri masih belum menerima sebarang laporan pihak PJD Link," kata Izham dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 2 Julai, kira-kira 50 penduduk Petaling Jaya berhimpun di Jalan Prof Khoo Kay Kim bagi membantah projek PJD Link yang diluluskan kerajaan secara dasar selepas projek itu dikatakan telah dibatalkan pada 2015.

Bercakap pada protes yang diadakan itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong mendakwa pembinaan lebuh raya bertingkat itu hanya akan mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.

Sementara itu, Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah meminta orang ramai mendapatkan maklumat tepat berkaitan PJD Link dan bukan mempercayai ulasan tidak benar mengenai isu berkenaan.