Kerajaan bincang cadangan potong, kurangkan cukai hiburan

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin bercakap kepada pemberita selepas melancarkan supertele Penanggal Mak Kiah di Lanai Asmara Putrajaya. Foto Bernama.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin bercakap kepada pemberita selepas melancarkan supertele Penanggal Mak Kiah di Lanai Asmara Putrajaya. Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi membincangkan cadangan cukai hiburan dipotong atau dikurangkan, kata Timbalan Menterinya Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Melalui pertemuan itu, katanya, beliau akan mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengenakan cukai hiburan yang terlampau tinggi kepada penggiat industri seni dan perfileman negara.

"Kalau boleh kami minta PBT untuk tidak mengenakan cukai (hiburan) yang tinggi sangat, sekarang mereka (penggiat seni) perlu bayar cukai 25 peratus kepada PBT.

"Kalau PBT kenakan cukai hiburan tinggi sangat, ia akan bantutkan perkembangan industri filem dan mutunya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan supertele ‘Penanggal Mak Kiah’ di sini pada Khamis.

Kutipan cukai hiburan adalah di bawah bidang kuasa PBT di negeri masing-masing. Cukai hiburan di Malaysia adalah sebanyak 25 peratus.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan agar cukai hiburan dipotong sebagai alternatif untuk menambah baik industri seni dan perfileman tanah air.

Zahidi dalam ucapannya pada majlis itu berkata, kerajaan khususnya K-KOMM memberi sokongan penuh kepada penggiat industri untuk memperbanyakkan karya hasil tempatan seterusnya meningkatkan pendapatan para penggiat industri kreatif.

Kerajaan, katanya menyokong usaha penerbit filem dan drama tempatan dengan menawarkan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) iaitu sebuah agensi di bawah K-KOMM.

Sejak 2017 hingga Jun lepas, sebanyak RM180.824 juta peruntukan telah disalurkan kepada penggiat industri yang berjaya menerima Surat Setuju Tawaran DKD sebagai suntikan bagi menghasilkan karya tempatan yang pelbagai genre dan variasi.

Dana DKD terbahagi kepada empat kategori iaitu Dana Filem Cereka, Dana Dokumentari Kenegaraan (Seni budaya dan Warisan), Dana Dokumentari Bintang Nostalgia dan juga Dana Khas Filem Pendek. - Bernama