Pengurus syarikat, penganggur didenda buat laporan palsu

Kumaraguru (gambar kiri) dan Chen Yee (gambar kanan) masing-masing didenda RM1,000 dan RM800 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana membuat laporan polis palsu.
Kumaraguru (gambar kiri) dan Chen Yee (gambar kanan) masing-masing didenda RM1,000 dan RM800 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana membuat laporan polis palsu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengurus syarikat dijatuhkan hukuman denda RM800 di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat laporan polis palsu, pada awal bulan ini.

Chin Chen Yee, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurmadiana Mamat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chen Yee didakwa membuat laporan polis palsu menyatakan beg silang miliknya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM dan wang tunai RM500 diragut dua lelaki menaiki motosikal di Taman Sutera Utama pada jam 10.45 malam, 3 Julai lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes Chen Yee dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang penganggur, R Kumaraguru, 31, yang turut melakukan kesalahan sama dijatuhkan hukuman penjara lima hari beserta denda RM1,000, atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kumaraguru didakwa telah membuat laporan polis palsu mendakwa dompet miliknya yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM beserta wang tunai RM180 disamun di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada jam 7.30 pagi, 4 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki Danial Munir.

Difahamkan, siasatan polis mendapati kedua-dua tertuduh membuat laporan polis palsu bertujuan untuk mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan milik mereka.