Suspek bunuh ibu hormat orang tua: Bapa saudara

Ahli keluarga masih menanti jenazah mangsa dari Hospital Melaka sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangga Batu. Gambar kecil: Mohamed Hisham
Ahli keluarga masih menanti jenazah mangsa dari Hospital Melaka sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangga Batu. Gambar kecil: Mohamed Hisham
A
A
A

MELAKA - Abang kepada pesara guru yang maut ditikam tidak menyangka anak saudaranya yang disifatkan baik budi pekerti sanggup bertindak sedemikian dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu di sini pada Selasa.

Pesara kerajaan, Abbas Md Dom, 66, menyifatkan suspek seorang yang menghormati orang tua dan sehingga sekarang mereka sekeluarga masih terkejut dengan pemergian arwah lebih-lebih lagi baharu kehilangan adik ipar yang juga merupakan suami arwah pada bulan lalu.

Menurutnya, dalam masa terdekat dia kehilangan dua insan yang disayangi cuma terkilan dengan pemergian arwah yang begitu tragis dan dipercayai dilakukan oleh anak sendiri.

"Peribadinya, perwatakan (suspek) menghormati orang tua dan berbudi bahasa, kita tak menjangka dia mempunyai penyakit itu (mental)," katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mangsa di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abas yang menetap di Muar, Johor berharap insiden yang dilalui keluarganya dapat dijadikan iktibar dan pengajaran kepada orang lain.

Menurutnya, ahli keluarga perlu lebih prihatin dan mengambil tahu permasalahan keluarga agar dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik di setiap konflik yang melanda, tanpa mengorbankan nyawa sesiapa.

"Harap kes ini dapat menjadi iktibar kepada semua dan keluarga kami supaya benda ini diambil perhatian dalam keluarga," katanya.

Adik mangsa yang juga pemandu lori, Mohamed Hisham Md Dom, 54, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan kakaknya berlainan ibu itu adalah pada malam Isnin lalu ketika berkunjung ke rumah mangsa.

Menurutnya, mangsa tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik, namun sempat meminta maaf termasuk kepada ibunya, Jumi Md Som,73.

"Kebetulan kami datang ke rumah arwah malam itu, arwah seperti biasa hidangkan makanan dan melayan kami dengan baik.

"Cuma dia ada minta maaf zahir batin dan menyatakan bahawa kita semua kena ingat, nyawa kita mudah reput, bila-bila masa boleh pergi.

"Namun saya anggap itu mungkin nasihat daripada arwah rupanya itu kata-kata terakhirnya," katanya.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan seorang pesakit mental tergamak menikam ibu kandungnya sehingga mati selepas dipercayai terdengar bisikan menyuruh membunuh mangsa dalam kejadian di Kampung Paya Luboh pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 petang itu, mangsa Rozizah Md Dom, 63, meninggal dunia akibat dua tikaman pada leher.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 38 tahun dan berstatus duda menikam ibunya menggunakan pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm) di dalam bilik tidur selepas mangsa keluar dari bilik air.