Sila log masuk terlebih dahulu.

Kedah tanggung sewa rumah mangsa banjir

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

BALING - Kerajaan negeri Kedah bersedia menanggung sewa rumah mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir dan kejadian kepala air di sini dalam tempoh enam bulan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat sebagai usaha membantu mangsa mendapatkan perlindungan dan penempatan sementara.

"Kerajaan negeri memutuskan menyediakan penempatan sementara bagi keluarga yang hilang tempat tinggal selama enam bulan, kita akan bayar sewa," katanya.

Beliau berkata demikan kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Baling di sini pada Rabu.

Katanya, kerajaan negeri akan berusaha membantu membina semula rumah baharu kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal namun terdapat kekangan dari segi pemilikan tanah.

"Kebanyakan rumah hanyut di pinggir sungai didirikan atas tanah rizab yang tiada hak milik, jadi bila kerajaan nak buat balik tak boleh buat di tanah rizab kena ada tanah milik.

"Kalau mereka ada tanah milik tempat lain lebih mudah. Kalau mereka tiada tanah, nak kena cari tapak dulu lagi lambat, harap dapat selesaikan dengan cepat," katanya.

Setakat ini, katanya, jumlah rumah yang rosak teruk dan hanyut dilaporkan sebanyak 15 buah manakala rumah yang memerlukan kerja-kerja baik pulih major dikenal pasti sebanyak 14 buah.

Artikel Berkaitan:

"Ada yang mengalami kerosakan kecil seperti dapur runtuh dan bilik air terbalik, itu semua masih dianalisa," katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan agar sukarelawan yang ingin membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas boleh berhubung dengan bilik gerakan di mana pengagihan akan dibuat merangkumi 12 kampung terlibat.

"Jangan tumpu di kawasan titi hanyut saja, semua orang nak pi (pergi) situ, ada lagi rumah di kampung lain untuk dicuci jadi akan hantar mereka ke tempat yang belum ada sukarelawan," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang berhasrat membantu mangsa terjejas termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang turut menghulurkan bantuan.

"Saya turut dimaklumkan Menteri Besar Selangor bahawa sukarelawan dari negeri itu akan balas balik jasa sukarelawan Kedah yang ke Selangor dalam misi banjir Selangor hari itu," katanya.