KPDNHEP, agensi penguat kuasa gempur penyeludup minyak masak

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa bagi membanteras isu penyeludupan minyak masak peket bersubdisi di sempadan tanah air.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beberapa strategi sedang dirangka termasuk menubuhkan jawatankuasa untuk mengesan kegiatan haram berkenaan.

Menurutnya, ia termasuk kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan sebagainya bagi membantu membanteras isu tersebut.

"Kita ada Ops Samar, yang mana penguat kuasa kita tidak memakai uniform, sebaliknya memakai pakaian biasa untuk masuk ke mana-mana tempat untuk memastikan kejadian itu berlaku atau tidak.

"Jika penyeludupan berlaku di sempadan negara melalui laluan air, kami tidak ada aset yang diperlukan seperti bot. Jadi kami juga memerlukan daripada tentera laut, polis marin, kastam dan lain-lain.

"Kerjasama ini kita bentuk (untuk jadi) pasukan yang lebih mantap dan kukuh," katanya selepas mengadakan lawatan ke Carsome Certified Lab, Bandar Bukit Raja di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Alexander turut memaklumkan sebanyak RM1.5 juta nilai rampasan minyak masak peket bersubsidi berjaya dirampas di empat buah negeri sempadan Malaysia iaitu Kedah, Kelantan, Sabah dan Sarawak setakat Selasa.

Beliau turut mengakui kegiatan tersebut telah berlaku sekian lama, namun bertambah rancak sejak kebelakangan ini.

"Ini bukan perkara baru, mungkin pada masa lampau ia tidak ketara kerana beza harga bersubsidi dengan tidak bersubsidi sangat sedikit disebabkan harga minyak sawit mentah di pasaran rendah masa itu.

"Tapi ada berubah sedikit sebab harga 'crude palm oil' di pasaran dunia dah menurun daripada RM8,000 tan metrik hingga kira-kira RM4,000 tan metrik, jadi ada sedikit perbezaan.

"Sebab itulah sekarang walaupun perkara ini telah lama berlaku, tapi sekarang ia lebih berleluasa," katanya.

Sinar Harian pada Selasa membongkar kegiatan penjualan minyak masak peket bersubsidi di selatan Thailand.

Malah, penduduk di sempadan itu mengakui mereka sememangnya membesar dengan minyak masak dari Malaysia.

Apa yang mengejutkan bukan setahun dua mereka dengan mudah memperoleh minyak masak subsidi Malaysia di sana, tetapi sudah lebih 30 tahun.