Kaya raya seludup minyak masak peket

Laporan Sinar Harian mendedahkan minyak masak peket dijual secara terbuka di online, bahkan banyak ditemui dijual di selatan Thailand.
Laporan Sinar Harian mendedahkan minyak masak peket dijual secara terbuka di online, bahkan banyak ditemui dijual di selatan Thailand.
A
A
A

SEBAGAI sebuah akhbar rakyat yang memperjuangkan kepentingan dan nasib jelata, Sinar Harian sejak beberapa hari lalu menekankan mengenai krisis minyak masak.

Impak daripada pemansuhan subsidi minyak botol tulen kepada orang ramai sememangnya nyata, apatah bagi lagi kelompok peniaga.

Walaupun kerajaan sememangnya tidak 'berpeluk tubuh' dengan menaikkan kadar bantuan kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia, tetapi hakikatnya tidak semua kelompok rakyat menerima skim bantuan tersebut.

Ramai peniaga yang terpaksa beralih kepada minyak masak botol sebagai alternatif dan sejak 1 Julai lalu mereka terpaksa membeli sebotol minyak masak botol lima kilogram daripada sekitar RM29.70 kepada RM42.70.

Rantaian kenaikan ini sudah pasti akhirnya akan sampai dan ditanggung pengguna apabila peniaga mungkin terpaksa menaikkan harga.

Bagaimanapun kerajaan Malaysia juga tidak ketinggalan mengekalkan subsidi minyak masak peket pada harga RM2.50 untuk membantu rakyat.

Namun persoalannya, ramai pengguna mengadu sukar mendapatkan minyak masak peket.

Malah ada peniaga kedai runcit yang mengaku sudah tidak menerima stok minyak masak peket sejak hampir tiga bulan lalu.

Sinar Harian mempersoalkan mengapa minyak masak peket bagaikan ghaib di pasaran?

Ini kerana kerajaan memaklumkan telah menyediakan subsidi sebanyak 60,000 tan metrik atau 60 juta kilogram minyak masak peket sebulan, sedangkan keperluan pengguna sekitar 55,000 tan metrik.

Ini bermakna tidak sepatutnya berlaku kekurangan minyak masak peket di pasaran.

Namun tidak menghairankan sebagai komoditi paling berharga ketika ini sememangnya minyak masak peket menjadi buruan penyeludup.

Apa tidaknya, apabila minyak masak botol lima kilogram dijual pada harga RM42.70, ini bermakna harga untuk sekilogram minyak masak tanpa subsidi ialah sekitar RM8.54 sen.

Dengan harga minyak masak peket RM2.50, jika penyeludup menjual pada harga RM7 sekali pun, mereka boleh mendapat untung atas angin sehingga RM4.50.

Kalau penyeludup boleh seludup sampai 200,000 atau 300,000 peket, boleh jadi jutawan dengan jual minyak masak peket sahaja.

Dengan laporan Sinar Harian mendedahkan minyak masak peket dijual secara terbuka di online, bahkan banyak ditemui dijual di selatan Thailand, maka penguat kuasa memang perlu kerja keras untuk beberapa bulan ini.

Kita tidak boleh membenarkan subsidi minyak masak yang berjumlah lebih RM4 bilion setahun mengalir begitu sahaja ke luar negara.