Sila log masuk terlebih dahulu.

THhujjaj tawar informasi lengkap untuk jemaah haji

Aplikasi THhujjaj yang dibangunkan TH dapat memudahkan jemaah Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci. - Gambar hiasan 123RF
Aplikasi THhujjaj yang dibangunkan TH dapat memudahkan jemaah Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MAKKAH - Lembaga Tabung Haji (TH) pada Isnin melancarkan aplikasi THhujjaj bagi memudahkan jemaah Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci.

Bukan sekadar medium bagi merujuk persoalan agama, THhujjaj yang dibangunkan TH turut membantu jemaah mendapatkan maklumat semasa seperti cuaca, lokasi serta peta di Makkah dan Madinah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pelbagai maklumat penting terkandung dalam aplikasi itu dan ia memudahkan jemaah bermula sejak mereka menerima tawaran menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Apabila mereka hendak bergerak ke Arafah, Muzdalifah dan Mina nanti... semua maklumat ada di dalam aplikasi ini. Mereka juga boleh mengulang kaji bimbingan haji kerana terdapat nota dan video berkaitan ibadah, kursus asas dan kursus perdana,” katanya.

Seorang jemaah haji, Abang Muhammad Faidy Razak berkata, beliau telah memuat naik aplikasi itu sejak berada di tanah air bagi mendapatkan maklumat berkaitan jadual penerbangan dan lokasi penginapan.

"Saya dapati aplikasi ini mengandungi informasi menarik untuk jemaah. Contohnya, cuaca di Madinah dan Makkah, waktu solat, selain terdapat bimbingan untuk jemaah haji bertanya kepada yang lebih pakar.

"Paling saya suka, THhujjaj mengandungi perkongsian hadis, kita boleh baca setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran aplikasi itu di bangunan Qsar Al Janadriah, yang menempatkan jemaah Malaysia.

Nur Hidayah Din Hatt Abdullah pula menyifatkan aplikasi itu membantunya mendapatkan informasi berkaitan pergerakan di Madinah dan Makkah serta hari wukuf, yang akan tiba empat hari lagi.

Artikel Berkaitan:

"Ia (THhujjaj) sangat membantu... apabila sampai di Tanah Suci, ia membantu urusan pergerakan dan hotel penginapan.

"Dapat tahu jarak perjalanan ke hotel dan di Mina nanti, saya dapat mengetahui lokasi ke tempat melontar jamrah,” katanya. - Bernama