X

Kindly register in order to view this article
!

Mangsa akan diberi kaunseling: Dr Maszlee

Dr Maszlee meluangkan masa melawat SMK Pasir Gudang pada hari pertama sesi persekolahan selepas cuti bencana dan cuti penggal pertama berakhir semalam.
A
A

PASIR GUDANG - Mangsa yang terkesan atau trauma dengan bencana pencemaran Sungai Kim Kim awal bulan ini akan diberi kaunseling bermula esok.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata program itu bukan sekadar tertumpu kepada pelajar di kawasan terjejas.

"Kita telah adakan program kaunseling kepada mangsa yang trauma dalam kalangan murid, guru dan kakitangan sekolah.

"Program ini akan dilaksanakan oleh guru bimbingan dan kaunseling negeri mulai 1 April (esok) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Malaysia dan Unit Pasikiatrik Hospital Sultanah Aminah," katanya kepada pemberita selepas melawat SMK Pasir Gudang, hari ini.

Namun beliau akui gembira melihat semangat ditunjukkan pelajar, guru dan kakitangan yang hadir ke sekolah selepas dirawat di hospital.

"Saya rasa amat gembira dengan keadaan sekolah yang selamat untuk dihadiri pelajar dan guru. Saya gembira lihat semua dalam keadaan selamat.

"Saya tengok dalam 90 peratus pelajar telah kembali ke sekolah," katanya.

Pihak pendidikan negeri juga difahamkan telah mewujudkan sistem sokongan bagi mengatasi isu-isu berkaitan bencana.

Setakat ini, seramai 398 pelajar telah membuat permohonan tuntutan insurans daripada Takaful Malaysia dan Maszlee berharap urusan tersebut dapat dipercepatkan.

Sebelumnya beliau meluangkan masa melawat dan beramah mesra dengan pelajar serta guru SMK Pasir Gudang.