Usahawan luar bandar perlu lengkapkan diri

Abdul Rahman (dua dari kiri) bersama peserta program PSR@KPLB yang menerima bantuan perniagaan. -Foto KPLB
Abdul Rahman (dua dari kiri) bersama peserta program PSR@KPLB yang menerima bantuan perniagaan. -Foto KPLB
A
A
A

LIPIS - Usahawan luar bandar disaran mengambil inisiatif untuk melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran digital.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memberitahu, inisiatif itu perlu dalam menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif.

Menurutnya, bagi memastikan proses peralihan itu berjaya, usahawan digalak menghadiri latihan serta program peningkatan kemahiran berkenaan bagi memastikan produk yang dipasarkan dapat menarik perhatian pelanggan.

”Beralih kepada pemasaran secara digital adalah norma baharu perniagaan namun memasarkan produk di media sosial sahaja tanpa strategi dan kemahiran berkemungkinan tidak memberi impak yang berkesan.

"Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyedia banyak kursus dan bimbingan digital bagi membantu usahawan luar bandar dalam memasar, menambah baik mutu dan kualiti produk untuk kesediaan berniaga dalam talian termasuk menyedia platform DesaMall@KPLB," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutup program Mini Karnival Usahawan Desa(KUD)@Lipis di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis di sini pada Ahad.

Ujar Abdul Rahman, sejak April lalu, seramai 3,000 usahawan luar bandar dilatih di bawah program DesaMall@KPLB yang diperkenalkan sejak 2017 bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan menjalankan perniagaan secara dalam talian dengan mencatat nilai jualan lebih RM4 juta.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Karnival Usahawan Desa anjuran KPLB ini turut menyedia platform bagi mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh sektor awam dan swasta yang dapat membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar.

“Melalui program ini kementerian dapat mengumpul maklumat dan mendapatkan maklum balas terkini daripada usahawan luar bandar khasnya di bawah bimbingan KPLB, mengenai keberkesanan program pengukuhan keusahawanan yang telah dilaksanakan bagi tujuan penambahbaikan berterusan," tambahnya.

Sementara itu, dalam majlis sama, lima peserta program Start Right (PSR@KPLB) menerima bantuan untuk memulakan perniagaan.

Program tersebut memberi peluang kepada belia luar bandar dari golongan B40 untuk menerima latihan asas keusahawanan dan bimbingan intensif selama enam bulan serta bantuan dalam bentuk peralatan dan modal bagi memulakan perniagaan.