Polis siasat dakwaan petugas media dikasari

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia(PDRM) mengesahkan tiada anggota Unit Tindak Khas (UTK) yang terlibat dalam insiden tiga petugas media didakwa dikasari dalam satu majlis di Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia(PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya mengambil maklum susulan kenyataan sebuah pertubuhan yang menyatakan terdapat petugas media yang mendakwa dikasari individu dikatakan sebagai anggota UTK dalam majlis berkenaan.

"Polis mengesahkan bahawa tiada anggota UTK terlibat dalam kejadian tersebut, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kejadian.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya siasatan mengesahkan bahawa terdapat sebarang pelanggaran kod etika dan tatasusila oleh mana-mana petugas keselamatan dalam majlis berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pihak polis sentiasa menghormati peranan pengamal media dalam menyebar luas informasi kepada masyarakat.

"Polis amat menghargai peranan pengamal media khususnya menyebar info khususnya bagi membantu memerangi jenayah.

"Hubungan erat pengamal media dan polis selama ini akan dikekalkan agar masyarakat mendapat maklumat yang tepat melalui sumber yang sahih," katanya.

Pada Sabtu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyatakan kekesalan berhubung insiden kekasaran terhadap tiga petugas media dipercayai melibatkan anggota pasukan keselamatan dalam acara pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan di Tanah Merah, Kelantan.

Geramm dalam satu kenyataan menjelaskan, seorang wartawan lelaki mendakwa telah ditampar di bahagian perut manakala seorang lagi wartawan wanita mendakwa dicengkam leher ketika berada di bawah pentas utama yang membariskan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dua pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.