Selamba hisap rokok di medan selera, warga emas dikompaun

Seorang lelaki dikompaun kerana didapati menghisap rokok ketika berada di medan selera di Taman Ria Jaya, Kedah pada Ahad.
Seorang lelaki dikompaun kerana didapati menghisap rokok ketika berada di medan selera di Taman Ria Jaya, Kedah pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Aksi selamba seorang warga emas menghisap rokok di sebuah medan selera membawa padah apabila dia dikompaun anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah ketika pemeriksaan di lokasi kejadian di Taman Ria Jaya di sini pada Ahad.

Lelaki berusia 60-an yang khusyuk menggunakan telefon pintar itu tanpa disedari telah didekati anggota penguat kuasa yang menjalankan operasi larangan merokok dan penjualan rokok di premis makanan menerusi Operasi Bersepadu Mega yang berakhir petang Ahad.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, sebanyak 78 notis bagi kesalahan merokok di kedai makan telah dikeluarkan sejak operasi dijalankan bermula 29 Jun lalu dan warga emas terbabit antara yang dikompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan ke atas 1,012 premis di seluruh Kedah dengan 331 notis kesalahan dikeluarkan membabitkan nilai kompaun RM83,700.

"Ia antaranya merangkumi 78 notis bagi kesalahan merokok di kedai makan, 35 notis dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok, 29 notis dikeluarkan terhadap orang belum dewasa yang merokok dan 11 notis membabitkan penjualan peket rokok bawah harga minimum jualan runcit iaitu RM12," katanya kepada media.

Beliau ditemui sebelum majlis penutup operasi mega bersepadu di sini pada Ahad.

Jelasnya, hasil daripada operasi tersebut, sebanyak 50 peket dan 547 batang rokok dirampas dengan nilai RM487.10.

Menurut Othman, operasi turut melibatkan 105 orang anggota termasuk Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menurutnya, selain di premis makanan di pusat bandar, lokasi pelancongan di Pantai Merdeka dan Tanjung Dawai turut dilaksanakan operasi sama.

Jelasnya, kegagalan membayar kompaun di pejabat kesihatan daerah terdekat membolehkan individu itu dikenakan tindakan pendakwaan di mahkamah jika gagal membuat bayaran.

"Jika disabitkan kesalahan mengikut PPKHT, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

"Kita memohon orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan merokok di kawasan larangan merokok kepada pejabat kesihatan, supaya tindakan dapat diambil," katanya.