Tidak puas hati pengurusan masjid, salur maklumat kepada JAIM

Che Sukri
Che Sukri
A
A
A

MELAKA - Individu atau pihak yang tidak berpuas hati dengan pengurusan masjid dan surau termasuk mengesyaki berlaku penyelewengan dana institusi itu boleh menyalurkan aduan atau maklumat berkenaan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk tindakan lanjut.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, perkara itu boleh diselesaikan di peringkat JAIM kerana tindakan segera akan diambil mengikut undang-undang yang ditetapkan, tanpa perlu melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi medium surat layang.

"JAIM mengambil maklum SPRM menerima pelbagai aduan menerusi surat layang berhubung dakwaan kebanyakannya tidak puas hati dengan pengurusan masjid dan pengurusan menggunakan duit masjid sewenang-wenangnya tetapi di Melaka setakat ini tiada berlaku penyelewengan dana.

"JAIM sentiasa memantau pengurusan masjid di negeri ini dan kami ada pegawai integriti yang akan mengambil tindakan sekiranya mengesan berlaku unsur penyelewengan atau rasuah," katanya kepada pemberita selepas Program Komuniti Masjid Memerangi Rasuah di Surau Al-Mughni di Kampung Tersusun, Bukit Larang di sini hari ini.

Program berkenaan turut dihadiri Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor antara panel sesi dialog bertajuk 'Isu-Isu Ketirisan Dalam Pengurusan Dana Masjid dan Surau'.

Che Sukri berkata selain itu, jawatankuasa masjid dan surau di negeri itu diminta tidak menyimpan dana atau sumbangan orang ramai yang diperoleh sebaliknya membelanjakan wang tersebut untuk tujuan pembangunan, pengurusan dan pengimarahan institusi tersebut.

Beliau berkata ini kerana pihaknya mengesan terdapat beberapa masjid yang tidak menggunakan dana yang diperoleh daripada orang ramai sebaliknya menyimpan wang tersebut di dalam akaun masjid sehingga ada antara simpanan tersebut mencecah ratusan ribu ringgit.

"JAIM telah membuat teguran kepada masjid tersebut supaya menggunakan tabung berkenaan untuk pengurusan masjid contohnya menambah baik keindahan masjid dan membaiki tandas yang bocor untuk keselesaan jemaah.

Artikel Berkaitan:

"Jangan simpan dana itu kerana ia disumbangkan orang ramai untuk dibelanjakan ke arah pengimarahan masjid," katanya. - Bernama