[VIDEO] Pejuang mahu kurangkan jurang kemiskinan orang Melayu

Tun Mahathir semasa berucap di siri Jelajah Sayang Bangsaku Negeri Kedah di Tapak Ekspo Taman Ria Jaya, dekat sini pada malam Sabtu.
Tun Mahathir semasa berucap di siri Jelajah Sayang Bangsaku Negeri Kedah di Tapak Ekspo Taman Ria Jaya, dekat sini pada malam Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebagai sebuah parti orang Melayu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bertanggungjawab untuk membantu,merancang dan mengurangkan kadar kemiskinan orang Melayu di negara ini.

Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya namun orang Melayu dilihat paling terkesan dalam pelbagai perkara berbanding kaum-kaum lain di negara ini.

Menurutnya, jurang kemiskinan kaum Melayu dengan kaum-kaum lain dilihat agak ketara dan parti tersebut perlu diberikan ruang untuk menjadi kerajaan bagi memikirkan cara untuk merapatkan jurang tersebut.

"Tumpuan kita adalah membantu dan merancang untuk mengurangkan kemiskinan di kalangan orang Melayu, sebab itulah kita tubuhkan parti Melayu kerana orang Melayu sahajalah yang faham masalah orang Melayu dan sifat-sifat mereka.

"Kita khuatir apabila mereka miskin, mereka akan menjual tanah yang dimiliki. Kalau tanah dijual, apa lagi yang ada pada mereka, tidak banyak dah yang tinggal (tanah).

"Sebab itu kita larang jangan jual tanah sebab itu aset yang ada pada kita dan boleh memberikan kesenangan pada masa hadapan," katanya semasa berucap di siri Jelajah Sayang Bangsaku Negeri Kedah di Tapak Ekspo Taman Ria Jaya, dekat sini pada malam Sabtu.

Hadir sama adalah Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.

Orang ramai yang hadir pada siri Jelajah Sayang Bangsaku Negeri Kedah di Tapak Ekspo Taman Ria Jaya, dekat sini pada malam Sabtu.
Orang ramai yang hadir pada siri Jelajah Sayang Bangsaku Negeri Kedah di Tapak Ekspo Taman Ria Jaya, dekat sini pada malam Sabtu.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, pelbagai masalah dan tekanan hidup dihadapi oleh rakyat sejak pandemik Covid-19 melanda dunia dan negara ini sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang mampu membantu mereka diwaktu mereka susah dan bukannya kerajaan yang mana pemimpinnya lebih mengutamakan kepentingan untuk diri sendiri.

"Pejuang ini bukan memberikan sepenuh perhatian kepada hanya orang Melayu kita sedar ada orang bukan Melayu dalam negara kita. Sebaliknya pemerintahan Melayu memang memberikan pertimbangan kepada mereka.

"Untuk ini kita perlu mempunyai kuasa, tidak mungkin kita mampu melakukannya jika kita tidak dapat menjadi kerajaan di Malaysia. Kerajaan yang ada sekarang ini bukan mengambil berat masalah orang Melayu, walaupun mereka mendakwa mereka terdiri daripada kerajaan Melayu Islam," ujarnya.