'Tindakan kerajaan tangani isu harga barang naik lucu, lawak'

Mahfuz (kiri) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Negeri Perak 2022 Amanah kali ke-7 di sini pada Ahad.
Mahfuz (kiri) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Negeri Perak 2022 Amanah kali ke-7 di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan tindakan kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barangan dan inflasi yang menghimpit rakyat sebagai melucukan.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pentadbiran kerajaan kini dianggap tidak berupaya dalam menyelesaikan isu yang akhirnya akan menjejaskan kehidupan rakyat.

"Kita lihat kerajaan hari ini adalah kerajaan pak lawak, kerajaan maharaja lawak. Dia yang menaikkan harga ayam, dia juga hendak melancarkan jihad untuk menghadapi inflasi. Salah satu daripada soal inflasi adalah kenaikan harga barang. Ini satu keadaan yang melucukan dalam negara kita.

"Dalam sejarah kita memiliki sebuah negara berkerajaan, inilah kerajaan yang paling lemah dan ini tidak akan memberi kesan baik kepada masa depan kepada kehidupan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Negeri Perak 2022 Amanah kali ke-7 di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof dan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, penubuhan pelbagai 'task force' termasuk terbaharu, Pasukan Khas Tangani Inflasi dilihat tidak membantu menyelesaikan isu berkenaan.

"Sampai tiga 'task force' termasuk Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) kemudian Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang semuanya memainkan peranan dan fungsi yang sama.

"Yang terbaharu ini dengan keanggotaannya adalah orang yang sama. Saya berfikir apa lagi idea baru yang boleh diperolehi daripada 'task force' ini sedangkan dua sebelum ini tidak nampak idea yang boleh gerakkan usaha yang lebih baik," katanya.

Tambahnya, cadangan yang diusulkan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk Majlis Pemulihan Negeri dianggap sebagai suatu pembaziran.

"Muhyiddin suruh tubuh majlis itu di peringkat negeri, yang 'task force' jihad suruh tubuh satu agensi peringkat negeri. Kenapa habiskan wang untuk mesyuarat, makan karipap dan pulut udang sebagainya tetapi perut rakyat terus kelaparan.

"Jadi saya tidak nampak bahawa satu penyelesaian konkrit yang akan dinikmati oleh masyarakat dan rakyat di negara ini," katanya.

Media melaporkan Satu Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa itu berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai.

Pada masa sama, Muhyiddin menggesa Majlis Pemulihan Negeri perlu dibentuk bagi melancarkan usaha memulihkan ekonomi bersepadu membabitkan kerjasama kerajaan Pusat dan negeri.