Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dipersoal

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

PENDANG – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, terdapat beberapa isu dipertikaikan termasuklah pemilihan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bagi mempengerusi pasukan terbabit.

Beliau memberitahu, penubuhan pasukan khas oleh kerajaan turut dipersoal memandangkan wujud jawatankuasa ataupun badan sedia ada yang boleh memainkan fungsi sama.

“Orang bertanya mengapa Menteri Komunikasi dan Multimedia yang mengetuai (pasukan khas). Bagi saya, kita (juga) sudah ada dua badan iaitu Majlis Tindakan Kos Sara Hidup dan Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Jadi, apa keperluan kita lantik badan baharu dan melantik pula Annuar Musa yang langsung tidak dilihat sebagai ada kena mengena dengan isu-isu ini,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Amanah Kedah & Istiadat Letak Kerja Pilihan Raya dan Komunikasi di Dewan Cenderawasih, di sini.

Mahfuz (tengah) bersama sebahagian ahli Amanah mengibarkan bendera parti itu pada Konvensyen Amanah Kedah & Istiadat Letak Kerja Pilihan Raya dan Komunikasi di Dewan Cenderawasih di sini, pada Sabtu.
Mahfuz (tengah) bersama sebahagian ahli Amanah mengibarkan bendera parti itu pada Konvensyen Amanah Kedah & Istiadat Letak Kerja Pilihan Raya dan Komunikasi di Dewan Cenderawasih di sini, pada Sabtu.

Jelas Mahfuz, pasukan khas berkenaan dianggotai beberapa individu yang juga mengganggotai badan lain seperti Majlis Tindakan Kos Sara Hidup dan MPN.

“Menteri Kewangan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan ramai lagi. Menteri-menteri itu duduk dalam Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara dan juga MPN,” katanya.

Mahfuz mengakui tertanya-tanya dengan situasi terbabit memandangkan Annuar hanyalah Menteri Komunikasi dan Multimedia.

“Adakah dia (Annuar) sekadar hanya untuk menjadi jurucakap dari sudut retorik dan juga bombastik semata-mata, sedangkan kita tidak boleh melakukannya sebegini,” katanya.