Peluru sebabkan kematian wartawan Al Jazeera diserah kepada AS

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

RAMALLAH - Peguam Negara Palestin, Akram Al-Khatib pada Sabtu mendedahkan peluru yang menyebabkan kematian wartawan veteran Palestin-Amerika, Shireen Abu Akleh pada Mei telah diserahkan kepada Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.

Peluru itu tidak akan diserahkan kepada pihak berkuasa Israel sebaliknya diserahkan kepada AS untuk diperiksa, kata Al-Khatib kepada Agensi Berita Palestin WAFA.

Palestin mendakwa hasil siasatan pada Mei, mendapati Shireen ditembak dengan 'sengaja' oleh penembak tepat, namun dinafikan Israel yang menyifatkannya sebagai 'pembohongan secara terang-terangan'.

Israel telah meminta Palestin menyerahkan peluru itu untuk siasatan bersama, tetapi permintaan itu ditolak.

"Kami bersetuju membenarkan pasukan pakar khas AS menjalankan pemeriksaan teknikal ke atas peluru itu dan bukti telah diserahkan kepada pasukan yang baru tiba di negara ini.

"Pemeriksaan itu akan dijalankan di kedutaan AS di Baitulmaqdis," kata Al-Khatib.

Shireen, 51, yang bertugas sebagai wartawan Al Jazeera dilahirkan di Baitulmaqdis, terbunuh akibat terkena peluru hidup di kepala pada 11 Mei ketika bertugas melaporkan pencerobohan tentera Israel di kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat.

Insiden itu menerima kecaman hebat antarabangsa.

Pada Jun, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki bertemu Pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Karim Khan di The Hague untuk menyerahkan hasil siasatan mengenai kematian Shireen. - Bernama